Iman Rabbit Farm rangsang minda kanak-kanak
AYER MOLEK 10 Ogos – Konsep edutourism iaitu pendidikan dan pelancongan digunapakai menjadikan, Iman Rabbit Farm sebagai destinasi tepat bagi aktiviti pembelajaran luar bilik darjah.
Pengusahanya, Roslan Mohd Noor, 61, berkata, persekitaran yang tenang dan dikelilingi ratusan arnab antara faktor ladang itu sebagai lokasi ideal untuk semua kategori pengunjung khusus kanak-kanak.
Menurutnya, ladang berkenaan kini mempunyai tujuh jenis baka arnab yang pastinya akan memberikan pengalaman berbeza untuk murid atau kanak-kanak.
“Bagi keselesaan pengunjung kami sediakan lokasi untuk bersantai sambil bermanja atau melakukan aktiviti bersama arnab. Pengunjung juga didedahkan mengenai cara menjaga dan membela haiwan comel ini.
“Harapan kami agar lebih ramai murid sekolah, taska dan tadika berkunjung ke Iman Rabbit Farm untuk merasai sendiri pengalaman membelai arnab termasuk jenis baka yang sukar ditemui.
“Pengunjung terutama golongan kanak-kanak dapat mempelajari sesuatu mengenai haiwan berbulu (arnab) ini kerana mereka boleh memegang sambil memberi makan,” katanya.
Roslan berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini di lokasi Iman Rabbit Farm, di Tambak Paya, di sini, pada Khamis.
Sementara itu isterinya Sapura Harin, 61, juga pengusaha bersama ladang terbabit berkata, pihaknya dalam perancangan untuk membina galeri dan menambah baik fasiliti bagi memberikan lebih keselesaan dan pilihan kepada pengunjung.
“Menjelang hujung tahun ini perancangan itu akan dilaksanakan, kami mahu pelawa lebih ramai pengunjung termasuk dari luar melaka datang ke Iman Rabbit Farm, lebih-lebih lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) semakin hampir.
“Antara yang dirancang adalah membina fasiliti seperti surau, tandas dan menambah tempat bersantai bagi keselesaan pengunjung datang bersama keluarga.
“Selain itu kita juga akan membina galeri Iman Rabbit Farm, menawarkan cenderahati berasaskan arnab. Persekitaran ladang ini akan dihijaukan lagi dengan menanam jenis rumput yang sesuai dengan arnab. Perancangan ini perlu kerana jumlah arnab kami semakin banyak,” katanya.
Menurutnya bagi kanak-kanak bayaran masuk dikenakan adalah RM5, dewasa RM8 manakala orang kurang upaya (OKU) dan warga emas RM3.
Iman Rabbit Farm beroperasi setiap hari kecuali Rabu dari jam 9.30 pagi hingga 6.30 petang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.