Ilmu sembelihan halal wajar diperluaskan kepada anak muda

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

BUKIT PALAH 22 Julai – Kursus Asas Sembelihan Siri 1 memberi ilmu bermanfaat sebagai panduan dalam memahami, menyebarkan maklumat dan mengaplikasi ilmu dalam kehidupan, khususnya kepada generasi muda.

Kursus anjuran Universiti Islam Melaka (UNIMEL) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di Masjid Al Azim itu mendapat reaksi positif daripada peserta yang hadir ke kursus selama dua hari itu.

Kursus Asas Sembelihan Asas 1 itu bertujuan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam meningkatkan kemahiran agar aktiviti penyembelihan dapat dijalankan dengan lebih teratur, bersih dan mengambil kira kebajikan haiwan dan keselamatan makanan.

Ia juga mendedahkan kepada peserta konsep penyembelihan dalam Islam, teknologi terkini penyembelihan, isu-isu berkaitan penyembelihan halal dan garis panduan pelaksanaan ibadah korban dan aqiqah serta amali sembelihan.

Menurut peserta, Mohd Yusoff Ariffin, 22, yang berasal dari Sabah, sepanjang dua hari mengikuti kursus itu dia dapat menimba ilmu berkaitan sembelihan haiwan ternakan yang boleh dimanfaat dalam kehidupan dan pekerjaan.

“Banyak ilmu yang saya perolehi ketika menyertai kursus sembelih ini antaranya realiti sembelihan di negara kita dan potensi besar bidang halal.

“Pada saya kursus seumpama ini wajar didedahkan kepada golongan anak muda, kerana ilmu itu boleh diguna pakai juga untuk mencari kerja pada masa hadapan.

“Ilmu mengenai sembelihan ini antara ilmu yang dituntut dalam agama Islam, jadi kita sebagai muslimin perlu mempelajarinya,” katanya yang kini sedang menuntut di UNIMEL dalam bidang Sarjana Muda Syariah Semester 1.

Nada sama turut disuarakan peserta dari Taiping, Abdul Hanan Azizan, 21, yang melihat kursus terbabit banyak memberinya ilmu mengenai penjagaan haiwan ternakan sebelum dan semasa disembelih.

“Saya penuntut di sebuah kolej di Muar yang sedang mengikuti Kursus Penternakan dan Pertanian, sedikit sebanyak kursus asas ini membuka mata saya mengenai apa yang tidak dipelajari.

“Yang lebih menarik, kaedah memegang haiwan sembelihan kaki dua dan kaki empat berbeza dan teknik ‘stunning’ atau cara melemahkan haiwan sebelum disembelih juga diajar,” katanya.

Img 20240721 162917 587
PESERTA Muhammad Aish Afizee, 17, menunjukkan sijil penyertaannya selepas menghadiri Kursus Asas Sembelihan Siri 1 yang diadakan di Masjid Al- Azim, Bukit Palah, Melaka. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Dalam pada itu, peserta termuda, Muhammad Aish Afizee, 17 berkata, menerusi kursus terbabit dia menerima pencerahan yang jelas dan mengetahui konsep penyembelihan mengikut syarak.

“Apa yang saya dapat menerusi kursus ini adalah teknik dan cara yang diajar oleh tenaga pengajar.

“Kami diajar untuk tahu berapa banyak urat haiwan perlu dipotong, perihal makruh, halal dan haram ketika proses melaksanakan sembelihan serta pelbagai lagi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

160
Kongsi :
Previous post SUKMA: Atlet Melaka tidak datang ke Sarawak untuk ‘window shopping’
Next post Isytihar Klebang kawasan ‘hijau’ pertanian
Ubah saiz-+=