ILJTM catat kebolehpasaran sisawazah lebih 90 peratus sejak 2014

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

SHAH ALAM, 8 Jun – Siswazah Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) berjaya mencatatkan kebolehpasaran kerja melebihi 90 peratus setiap tahun sejak 2014 hingga 2020, menunjukkan keberkesanan pelaksanaan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) secara berstruktur oleh institusi itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata kadar tersebut bagaimanapun menurun sedikit kepada 85 peratus pada tahun lepas yang dilihat bersifat sementara disebabkan pandemik COVID-19.

ILJTM terdiri daripada Institut Latihan Perindustrian, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) dan Institut Teknikal Jepun-Malaysia yang menawarkan program peringkat sijil hingga diploma lanjutan bagi melahirkan tenaga manusia yang optimum melalui program latihan kemahiran perindustrian.

Beliau berkata dengan pembukaan semula semua sektor ekonomi, pasaran pekerjaan dijangka kembali rancak dan seterusnya membuka ruang yang lebih luas kepada siswazah TVET untuk memasuki alam pekerjaan berbekalkan kemahiran yang telah diperoleh.

“Ini dibuktikan dengan pengeluaran statistik oleh Jabatan Perangkaan Malaysia yang menyatakan kadar pengangguran negara turun kepada 4.1 peratus pada suku pertama 2022 berbanding 4.3 peratus pada suku keempat 2021,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan Timbalannya Datuk Awang Hashim pada Majlis Konvokesyen ILJTM Ke-25 di ADTEC Shah Alam di sini hari ini.

Saravanan berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Jabatan Tenaga Manusia telah mendapat peruntukan pembangunan untuk melaksanakan kursus-kursus baharu dalam bidang keselamatan siber, telekomunikasi 5G dan teknologi dron di beberapa ILJTM terpilih.

“Saya berharap melalui pengenalan kursus-kursus baharu ini, ILJTM akan dapat melatih lebih ramai tenaga mahir yang diperlukan oleh industri dalam bidang-bidang tersebut serta menjadi sinergi dalam menarik minat lebih ramai golongan muda untuk menyertai program TVET di ILJTM,” katanya.

Menurutnya menerusi RMK-12 juga, satu daripada projek yang akan dilaksanakan kementeriannya adalah pembinaan makmal pembelajaran secara ‘immersive’ di ADTEC Shah Alam yang menyediakan kemudahan bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran menggunakan teknologi realiti maya (VR) dan augmented reality (AR).

“Makmal berteknologi tinggi ini menjadi platform pelaksanaan latihan tanpa perlu terdedah kepada risiko bahaya penggunaan mesin serta peralatan sebenar dan pendekatan latihan berteraskan teknologi digital ini diyakini mampu meningkatkan minat lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang TVET.

“Makmal ini juga bakal menyediakan bahan pembelajaran digital yang bukan sahaja akan digunakan di ILJTM, malah boleh dimanfaatkan oleh institusi TVET di seluruh negara,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

774
Kongsi :
Previous post Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada empat pelajar terpilih sertai latihan ketenteraan di AS
Next post Kes lucut hak: Rosmah tidak mahu tuntut rantai tangan berlian bernilai USD$220,500
Ubah saiz-+=