ILI di Melaka meningkat 12 peratus
AYER KEROH 15 Julai – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menyarankan menyarankan untuk orang awam menjaga etika batuk dan mengikuti prosedur operasi standard COVID-19 bagi mengelakkan dari terkena jangkitan penyakit seperti influenza (ILI).
Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata ia berikutan berlaku peningkatan dalam kalangan pesakit ILI itu yang merekodkan sebanyak 12 peratus di Melaka pada minggu epid 27 (3 Julai- 9 Julai) berbanding lapan peratus pada minggu epid 26.
Bagaimanapun, ujarnya peningkatan tersebut tidak berada pada tahap mendadak dan serius namun beliau sarankan untuk orang ramai menjaga diri sama seperti menghindari diri dari COVID-19.
“Setakat hari ini, status ILI di Melaka terdapat peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding minggu epid ke 26.
“Bilangan ini dilihat tidak meningkat mendadak kerana sebelum itu memang berlaku peningkatan sebanyak lapan peratus antara dua minggu epid 25 dan 26.
“Saya minta orang ramai untuk menjaga etika ketika batuk, jika tidak sihat, pakai ‘mask’, sentiasa basuh tangan dan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sama seperti SOP COVID-19 dan insyallah sekiranya masyarakat umum patuh SOP, kita akan selamat dari jangkitan influenza ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sidang media Operasi Mega bersepadu Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau Peringkat Kebangsaan di Wisma Persekutuan hari ini.
Hadir sama EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri Dr Muhamad Akmal dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Norena Jaafar.
Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata bagaimanapun tiada kluster melibatkan jangkitan ILI direkodkan di negeri ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.