Sorting by

×

Ikrar PN mahu rancakkan kembali industri pelancongan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SHAH ALAM 14 Nov – Perikatan Nasional (PN) berikrar untuk merancakkan semula industri pelancongan di Negeri Melaka sekiranya diberi mandat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dengan kedudukan yang sangat strategik, sektor pelancongan Melaka mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dan diperluaskan secara optimum.

“PN ingin menawarkan program yang inovatif dan berimpak tinggi, ini termasuklah melancarkan lalu lintas terutamanya pada waktu puncak atau musim percutian.

“Kerajaan Perikatan Nasional negeri Melaka yang akan dibentuk nanti akan menyediakan lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan dan diselaraskan dengan sistem “park and ride”.

“PN juga akan menggiatkan usaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa bagi menjadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pelancaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka yang bersiaran secara langsung di sini, hari ini.

Katanya, selain itu pendekatan menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan pelancong kapal persiaran yang menyusuri Selat Melaka dan pusat penganjuran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) akan dipergiat.

“Ini termasuklah menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan aktiviti sampingan.

“Melaka juga akan dipromosikan sebagai destinasi aktiviti rekreasi termasuk sukan air dan sukan lasak yang menjadi tarikan masa kini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

396
Kongsi :
Previous post PN mahu perkasa infrastruktur negeri Melaka
Next post Perkasa sekolah tahfiz antara ikrar PN
Ubah saiz-+=