![Whatsapp Image 2025 02 07 At 11.13.11 Am (1)](https://www.melakahariini.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-07-at-11.13.11-AM-1.jpeg?v=1738898756)
IKHTIAR RAIS ATASI BANJIR BUKIT RAMBAI
AYER KEROH 7 Februari – Mencari penyelesaian terbaik untuk menangani permasalahan bencana banjir sekitar Bukit Rambai kini menjadi fokus Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Komited untuk mencari penyelesaian perkara itu Rais bersama Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Melaka, Ir. Mohd Adnan Ahmad Fadli turun padang meninjau lokasi yang terjejas sekitar Bukit Rambai.
Katanya, pada lawatan itu pihaknya turut meninjau sistem saliran di Taman Rambai Utama dan Kolam Takungan MCORP di Kawasan Perindustrian Bukit Rambai.
“Fokus utama tinjauan ini adalah mencari jalan penyelesaian tuntas terhadap kesan banjir yang telah berlarutan sejak lebih 20 tahun di daerah Melaka Tengah.
“Saya yakin dengan komitmen dan kerjasama pelbagai pihak, pastinya isu rakyat ini dapat diatasi dengan langkah-langkah penyelesaian jangka panjang yang lebih efektif,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Beliau yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana berharap agar gerak kerja dilaksanakan memberikan sinar baharu dalam menyelesaikan isu banjir, sekali gus memastikan kesejahteraan penduduk setempat terus terjamin.
“Kita usahakan yang terbaik demi rakyat, mohon doa daripada semua insya-Allah. Terima kasih juga diucapkan kepada pihak yang turut hadir menyokong usaha ini, antaranya Timbalan Pengarah (Pembangunan) JPS, Rahmat Hidayat Mohammed Rum, Ketua Daerah JPS Melaka Tengah, Marriani Ahmad dan Setiausaha Japerun Rumput,” ujarnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.