Sorting by

×

Ikhlas mendidik jadi pegangan Tokoh Guru Kebangsaan 2023

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Keperibadian serta hati yang ikhlas dalam mendidik anak-anak mendapatkan pendidikan melayakkan seorang bekas Pengetua Cemerlang Gred Khas C, Datin Seri Dr Nuinda Alias menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Guru Kebangsaan 2023, hari ini.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai penjawat awam di Maktab Sabah, Kota Kinabalu bermula pada tahun 2006 dan menamatkan perkhidmatan pada 6 Januari 2022.

“Saya tidak terfikir pun untuk diangkat menjadi tokoh guru sebab titik perjuangan atau permulaan saya sebagai guru adalah membantu pelajar-pelajar saya apakah yang mereka (pelajar) boleh capai dalam pendidikan.

“Pesanan saya kalau mahu menjadi guru hati kita kena ikhlas, perlu mendidik dengan hati nurani kita kerana keikhlasan itulah akhirnya melayakkan saya menerima tokoh guru ini.

“Jadilah sebagai guru insani yang berjiwa mulia dan berhati ikhlas, sanggup berjuang untuk mendidik anak bangsa kita demi pembangunan negara yang kita cintai dan generasi masa akan datang,” kata ibu kepada empat anak ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima anugerah berkenaan yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-52 Tahun 2023 bertemakan ‘Guru Insani Pemangkin Generasi MADANI’ di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; barisan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Sementara itu bekas Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Mazlan Mohamad,69, pula diangkat menerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2023.

Berkhidmat sebagai warga pendidik selama 34 tahun, fokus utama beliau adalah untuk memastikan semua anak-anak di negara ini tidak tercicir daripada arus pendidikan seperti dalam Dasar Pembangunan Pendidikan 2000-2010.

“Sebagai seorang guru atau pendidik, adalah menjadi tanggungjawab kita memastikan supaya semua anak murid, semua rakyat Malaysia mendapat pendidikan.

“Alhamdulillah mungkin di atas berkat kerja saya selama ini, saya mendapat perhatian kementerian dan diberikan anugerah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1817
Kongsi :
Previous post Keamanan negara tarik minat syarikat besar melabur – PM Anwar
Next post Jabatan Mufti nafi halang ceramah UAI di Melaka
Ubah saiz-+=