IKAT buktikan Hang Tuah bawa kegemilangan kepada Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

KUALA LINGGI 26 Julai – Institut Kajian Tuah (IKAT) akan terus aktif menjalankan penyelidikan dan kajian berhubung sumbangan Hang Tuah yang membawa kegemilangan kepada negeri ini suatu ketika dahulu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia sekali gus mampu menarik lebih ramai pengkaji sejarah menyumbangkan idea bagi melengkapkan kajian Hang Tuah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri menerusi Universiti Islam Melaka (UNIMEL).

Jelas beliau, setakat ini IKAT berjaya menghimpun hasil kajian berkaitan Hang Tuah dan akan diteruskan serta dilaksanakan dengan lebih terperinci bagi meluruskan fakta sejarah yang dibengkokkan penjajah.

“Alhamdulillah, segala hasil penyelidikan sudah pun kita angkat dan menjadi tatapan orang ramai menerusi Pameran Hang Tuah yang kini masih berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh.

“Ini adalah satu lonjakan positif buat Kerajaan Negeri sebagai hab pendidikan sejarah, budaya, politik dan kemasyarakatan, sekali gus memperkasakan pemeliharaan serta pemuliharaan warisan agar terus kekal buat tatapan generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Isra Corner, Perasmian IKAT dan Majlis Menandatangani Surat Niat Bersempena Sambutan Ulang Tajun ke-30 UNIMEL di universiti itu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah serta Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Dr. Taib Dora.

Sebelum ini, MHI melaporkan Melaka telah melantik 10 penyelidik dan pakar sejarah dari beberapa universiti tempatan bagi tujuan penyelidikan kewujudan Hang Tuah menerusi sumber baharu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

298
Kongsi :
Previous post SUKMA: ‘Tok Ajak’ suntik semangat atlet kriket, berbasikal Melaka
Next post Politeknik Melaka dipindahkan ke Kuala Sungai Baru
Ubah saiz-+=