Sorting by

×

Ikan yu bodoh ada harga

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

TANJUNG BIDARA 2 Feb. – Berbeza dengan keadaan 20 tahun lalu, ikan yu pasir atau (yu bodoh) yang sebelum ini tiada nilai, sekarang mampu memberikan pulangan kepada nelayan.

Apabila sebut sahaja namanya, sudah terbayang dalam fikiran kebanyakan orang, ikan itu bukan setakat tidak menarik, malah dagingnya dikatakan kenyal berbanding ikan lain.

Namun, persepsi seumpama itu sudah berubah sekarang apabila ikan berkenaan mampu memberikan pulangan memuaskan kepada nelayan yang berjaya menangkapnya.

Bagi nelayan, Ramlan Abdul Kadir, 35, ikan berkenaan tidak akan dilepaskan semula ke laut jika berjaya ditangkap dengan menggunakan rawai, iaitu ratusan mata kail yang dipasang umpan sebelum dibuang ke dasar laut.

Ramlan (tengah) dan rakannya menimbang ikan yu bodoh di pangkalan nelayan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
– Foto DIN AHMAD

Katanya, ketika beliau mula mencari rezeki di laut semasa berusia 15 tahun, ikan yu bodoh amat tidak digemari nelayan jika ia tercangkuk pada mata kail rawai.

“Dahulu ikan itu tidak ada harga dan menyebabkan setiap kali rawai terkenanya, ia akan dibuang semula ke laut.

“Bagaimanapun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yu bodoh sudah boleh dijadikan sumber pendapatan kerana ia dimakan oleh kebanyakan pelanggan,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari ini.

Dia berkata, yu bodoh kini bernilai RM10 sekilogram dan menjadi antara ikan yang mendapat permintaan agak tinggi dalam pasaran.

Katanya, kebanyakan pelanggan gemar menjadikannya bahan masakan gulai kari atau asam pedas berikutan dagingnya yang lembut dan lemak.

“Dagingnya lembut seperti yu spesis lain seperti yu kemejan, yu pengantin, yu bajak dan yu paus,” katanya.

Nelayan, Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata setiap kali menjual ikan yu bodoh, dia akan menyiang ikan berkenaan terlebih dulu kerana caranya tidak sama dengan ikan lain.

“Kebanyakan pelanggan tidak tahu cara menyiang ikan yu bodoh kerana ia harus dibelah dua terlebih dahulu untuk membolehkan kita membuang kulitnya, sama seperti kita membuang kulit ikan pari,” katanya

Hanya selepas kulitnya ditanggalkan, ikan berkenaan akan dikerat berdasarkan ukuran tertentu yang difikirkan sesuai.

 

Pix 1-3: Ramlan mempamerkan ikan yu bodoh yang ditangkapnya dengan menggunakan rawai di pangkalan nelayan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Pix 4: Ramlan (tengah) dan rakannya menimbang ikan yu bodoh di pangkalan nelayan Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
– Foto DIN AHMAD

Views:

14540
Kongsi :
Previous post PKP 2.0 dilanjutkan bermula 5 hingga 18 Februari
Next post MPPM disaran pantau rapi kemasukan pengunjung ke Pulau Besar
Ubah saiz-+=