Sorting by

×

Ikan selangat segar habis dalam dua jam sahaja

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

PANTAI KUNDOR 29 April. – Sebanyak 200 kilogram (kg) ikan selangat segar habis diagihkan dalam tempoh dua jam kepada anggota komuniti di sekitar Tanjung Kling, di sini.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan dan petugas JAPERUN secara pandu lalu mulai jam 10 pagi.

Nor Azman berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan beban anggota masyarakat terutama B40 berbelanja pada Ramadan, selain memberi peluang kepada mereka untuk menikmati ikan segar yang baharu didaratkan di Pantai Puteri.

PETUGAS JAPERUN Pantai Kundor, Azmi Leman (kiri) dan Mohd Muaz Baharudin memunggah ikan dalam kenderaan pacuan empat roda untuk diagihkan kepada anggota komuniti di JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling. Foto-DIN AHMAD.

Sementara itu, turut mengambil peluang menikmati ikan segar ialah dua anak pelakon Allahyarham Ibrahim Pendek, Yusni Ibrahim, 49, dan adiknya, Haslina, 42.

Mereka hadir dengan menaiki sebuah kereta yang diparkir di luar pagar bangunan itu sebelum berjalan masuk untuk mendaftar melalui MySejahtera dan mengambil ikan.

Haslina berkata, dia tinggal di Kampung Balik Bukit, kira-kira dua kilometer (km) dari JAPERUN berkenaan manakala kakaknya di Kampung Kelongkong, yang berhampiran dengan Kampung Balik Bukit.

“Alhamdulillah, kami bersyukur diberikan peluang mengambil ikan selangat segar dan terima kasih kepada Datuk (Nor Azman) kerana sudi membantu orang macam kami,” katanya.

HASLINA (kanan) dan Yusni menerima ikan selangat segar daripada petugas JAPERUN, Yaakob Eret di pekarangan JAPERUN Pantai Kundor, Tanjung Kling.

Haslina berkata, sejak berpisah dengan suami beberapa tahun lalu, dia membesarkan anak tunggal perempuannya yang berusia 20 tahun dan sedang menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Kuala Lumpur.

Katanya, dia bergantung rezeki sebagai pembantu kedai makan manakala kakaknya yang juga ibu tunggal, tinggal bersama dua anak, masing-masing lelaki berusia 15 tahun dan perempuan berusia 12 tahun.
“Dua lagi anak lelakinya berusia 20-an tinggal berasingan kerana sudah bekerja dan mampu berdikari,” katanya.

Haslina berkata, meskipun hidup serba kekurangan mereka tetap tabah menghadapi dugaan dan yakin mampu membahagiakan keluarga masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2969
Kongsi :
Previous post APMM rampas 3 set bubu naga di perairan Klebang
Next post Polis Besut wujudkan ‘food bank’ untuk golongan kurang berkemampuan
Ubah saiz-+=