Ikan mati: 30 kakitangan PPSPM lakukan pembersihan Sungai Melaka
AYER KEROH 25 April – Perbadanan Pembangunan Sungai Dan Pantai Melaka (PPSPM) menggerakkan 30 kakitangan operasi bagi kerja-kerja pembersihan ikan mati di Sungai Melaka, semalam
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk TPr. Murad Husin berkata gerakan pembersihan itu dibuat bagi membersihkan kembali sungai yang menjadi lokasi tarikan pelancong itu.
Katanya, jangka masa operasi pembersihan itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan paras air sungai tersebut.
“PPSPM sedang membersihkan ikan-ikan yang mati di sungai, namun paras air sungai agak cetek menyebabkan kerja-kerja pembersihan terganggu yang mana di beberapa tempat, bot tidak boleh sampai ke lokasi,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, beliau turut menjelaskan faktor kematian ikan mungkin disebabkan faktor cuaca panas berterusan yang menyumbang kepada kadar oksigen yang rendah di Sungai Melaka.
“Kejadian yang tular di laman sosial itu benar berlaku, banyak ikan mati disebabkan kadar kemasinan tinggi kerana kekurangan air sungai berbanding air laut yang masuk.
“Cuaca panas juga antara penyebab air sungai kurang, taburan hujan kurang juga antara faktor yang menjejaskan ekosistem ikan sungai.
“Ini juga menjadikan air di Sungai Melaka hanyalah air pelepasan kumbahan dan kepekatan cemar dalam sungai turut tinggi,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.