Sorting by

×

IKAN APA JUARA DI TASIK AYER KEROH ESOK?

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 21 Disember – Ratusan kaki pancing bakal berkampung di Tasik Ayer Keroh, di sini, bersempena Cabaran Joran Melaka yang akan berlangsung esok.

Program anjuran bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Tourism Malaysia dan Nadi Media Events itu merupakan sebahagian daripada pengisian pelancongan bagi merancakkan penutup tirai Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Jurucakap penganjur, Rosli Yahya berkata, dijangka seramai 700 kaki pancing dari dalam dan luar Melaka akan memeriahkan pertandingan memancing yang kembali diadakan selepas tiga tahun.

Menurutnya, antara spesies ikan yang dijangka menjadi tumpuan pada pertandingan yang berlangsung selama empat jam bermula 8.30 pagi itu adalah keli, patin, toman, raja (peacock bass) dan lain-lain lagi.

“Selain memancing, kita turut membawa misi untuk membebaskan tasik ini daripada ikan-ikan pendatang seperti peacock bass, keli afrika dan lain-lain supaya ia kembali dihuni ikan-ikan tempatan, selari dengan hasrat Jabatan Perikanan.

“Jadi, kita menjangkakan spesies-spesies ini akan mendominasi tangkapan pada hari pertandingan dan kita juga akan menempatkan pegawai Pejabat Perikanan Negeri Melaka untuk merekodkan kehadiran ikan-ikan pendatang ini,” katanya.

Menurut Rosli, penganjuran Cabaran Joran Melaka juga bertujuan untuk mempopularkan kembali Tasik Ayer Keroh sebagai antara destinasi pelancongan untuk seisi keluarga.

“Kita berharap, selain memenangi hadiah pertandingan memancing, peserta yang datang bersama keluarga juga dapat menikmati pelbagai produk pelancongan yang ada di Melaka dan seterusnya menyumbang kepada kejayaan TMM2024,” ujarnya.

Untuk rekod, Cabaran Joran Melaka menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM30,000, selain cabutan bertuah untuk pemancing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

200
Kongsi :
Previous post BANTUAN PERSEKOLAHAN MAIM AMAT BERMAKNA
Next post MIHF’24: ANGKAT MARTABAT ‘FESYEN SANTUN’
Ubah saiz-+=