IITTE suburkan Cara Hidup Islam

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 1 Ogos – Konsep ‘Islam Cara Hidup’ diterapkan dalam Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Antarabangsa 2024 (IITTE) diharap dapat membudayakan serta menyuburkan lagi semangat penyatuan dalam kehidupan setiap individu di negara ini termasuk golongan bukan muslim.

Pengerusi Eksekutif GISB Holdings (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali berkata, Islam Cara Hidup menjadi nadi kepada penganjuran IITTE 2024 juga diharap akan menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia, sekali gus mengukuhkan lagi perpaduan yang sedia ada.

Jelas Nasiruddin, ekspo bertaraf antarabangsa itu diilhamkan hasil berpengalaman beliau sendiri sepanjang bermusafir di negara serata dunia atas nama Silaturahim, Ziarah, Dakwah dan Tijarah.

Katanya, usaha itu mampu mengeratkan lagi hubungan antara pelbagai bangsa menerusi pertalian silaturahim menerusi dakwah dan secara tidak langsung memperkukuhkan hubungan dagang dalam mempromosikan produk halal kepada dunia.

“Kita mahu kongsi dan ceritakan kepada semua umat islam di Melaka dan seluruh Malaysia untuk bangunkan apa yang kita tanamkan menerusi konsep ‘Islam Cara Hidup’.

“Menerusi IITTE kita berhimpun, perbaiki diri dan jika ada masalah kita perlu bersatu kerana inilah jalannya untuk bersama. Pada masa yang sama kita pamerkan kehebatan Islam kepada golongan bukan muslim.

“Kerana Islam itu diibarat sebatang pokok yang dari akar tunjangnya sehingga ke buahnya memberi manfaat kepada semua orang dan daripada sinilah kita mahu ceritakan Islam yang sebenar menerusi konsep ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program perasmian IITTE 2024 diadakan di Dewan A Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Ekspo diadakan itu telah dirasmikan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

IITTE 2024 bermula hari ini hingga 4 Ogos nanti menawarkan lima program utama iaitu Persidangan IITTE 2024, Ekspo Pameran dan Jualan, Ekspo Jualan Makanan, Pameran Sejarah Kehidupan Rasulullah Untuk Penghayatan Kehidupan Kini serta Persembahan Kebudayaan Islam.

Melaka telah dipilih sebagai negeri pertama dalam penganjuran julung kali dianjurkan syarikat konglomerat itu yang kini mempunyai 20 cawangan seluruh dunia selain 25 rangkaian anak syarikat dan syarikat bersekutu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

181
Kongsi :
Previous post Batas sawah jadi pentas ‘catwalk’ Ratu D’Bendang
Next post Samun: Tukang kayu cedera dilibas parang
Ubah saiz-+=