IFUTURE: LAHIR PEMIMPIN MASA HADAPAN
DURIAN TUNGGAL 29 Ogos – International Young Future Leaders Summit (iFUTURE) 2024 mampu menjadi medan kepada pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengembangkan potensi untuk melahirkan lebih banyak pemimpin muda.
Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, penglibatan pelajar menerusi Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu mampu menjadi set pelengkap dalam kemenjadian proses membina pemimpin masa hadapan.
Jelasnya, pihaknya akan terus seiring dengan visi negara dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam merealisasikan hasrat tersebut.
“UTeM menghargai, menyokong dan terlibat sama menjayakan program antarabangsa yang bertujuan mencungkil dan mengembangkan potensi kepimpinan dalam kalangan belia serta pemimpin muda.
“Perkara ini adalah penting kerana ia menjadi nadi penggerak kepada proses merealisasikan hasrat nasional dalam melahirkan komuniti unggul menerusi gagasan Malaysia Madani.
“UTeM terus komited untuk melahirkan mahasiswa bitara dalam erti kata mempunyai sifat dan karekter yang unggul, berketrampilan, kompeten dan progresif seperti mana yang dihasratkan oleh Menteri KPT, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, iFUTURE yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, baru-baru ini telah dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
iFUTURE 2024 menjadi platform utama bagi para belia dan mahasiswa untuk berkongsi idea, mendapat ilmu daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang, serta membina jaringan global yang kukuh, selain menjadi satu titik perubahan yang penting dalam memperkasa generasi pemimpin masa hadapan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.