
IFTAR DI DATARAN VISTA ALAMANDA MERIAH
JASIN 20 Mac – Hampir 500 warga sekitar Jasin mengambil peluang untuk berbuka secara santai pada Majlis Iftar Jamaie Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Dataran Vista Alamanda (DVA), di sini, semalam.
Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan berkata, pihaknya menyediakan juadah berbuka seperti nasi arab, roti john, mi goreng, pelbagai jenis kuih-muih dan minuman kepada pengunjung.
Katanya, pada program iftar santai itu MPJ turut mengajak orang ramai untuk menjadikan DVA sebagai lokasi beriadah, namun pada masa yang sama tidak mengabaikan aspek kebersihan sekitar.
“Majlis iftar berjemaah ini kita turut jemput orang ramai bersama-sama kakitangan MPJ untuk berbuka puasa secara santai di DVA.
“Program dimulakan sesi tausiah sebelum berbuka puasa, selepas itu solat Maghrib dan solat tarawih berjemaah,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Mohd Shaiful berkata MPJ juga melaksanakan inisiatif ‘berkongsi rezeki’ dan mempelawa golongan kurang berkemampuan sekitar Jasin juga untuk datang memilih pakaian terpakai percuma yang disediakan oleh pihaknya.
“Inisiatif ini adalah acara tahunan setiap kali Ramadan, kami mahu ‘berkongsi rezeki’ dengan seramai orang boleh, mereka kurang berkemampuan atau sesiapa sahaja yang berminat boleh datang untuk pilih pakaian.
“Pelbagai jenis pakaian sesuai bagi semua peringkat usia dengan pelbagai saiz kami sediakan, sebab itu inisiatif ini diberi nama kongsi rezeki,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.