Idris nafi bertanding di Asahan

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SUNGAI UDANG 1 Nov – “Saya hanya balik kampung halaman saya di Asahan dan tiada kena mengena dengan perpindahan saya dari Sungai Udang ke Asahan,” kata Datuk Seri Utama Idris Haron.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, menafikan desas-desus beliau tidak akan mempertahankan kerusi Sungai Udang dan berpindah ke Asahan pada Pilihan Raya Negeri, 20 Nov ini.

Sebaliknya, beliau menegaskan, kehadirannya ketika majlis penyampaian sumbangan kit makanan kepada anggota komuniti India sempena Deepavali di sebuah taman perumahan di Asahan semalam adalah atas undangan Setiausaha Perhubungan Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat.

Katanya, secara kebetulan beliau pulang ke kampung halamannya di Asahan semalam, bukan untuk berkempen atau berjumpa dengan anggota masyarakat di kawasan itu, sebaliknya kerana beliau berasal dari kawasan itu.

“Saya balik kampung untuk bertemu keluarga saya dan sanak saudara yang ramai di Asahan dan kemudian menerima panggilan Datuk Asyraf yang meminta saya hadir di sebuah taman.

“Tujuannya bukan untuk berkempen, sebaliknya untuk menyerahkan sumbangan kit makanan kepada anggota masyarakat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Idris diminta mengulas klip video beliau berucap di khalayak anggota komuniti di sebuah taman perumahan sebelum penyampaian sumbangan itu dilakukan.

Dalam pada itu, mengulas pembahagian kerusi yang diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lalu, Idris menyifatkan pembahagian tersebut mencerminkan kesepakatan parti komponen PH untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

“Berdasarkan pengalaman saya sebagai Ketua Menteri dan mengetuai BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), aspek pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen sangat sukar untuk diselesaikan kerana setiap parti ada kekuatan masing-masing.

“Bagaimanapun, apabila pembahagian itu berjaya disepakati, saya yakin PH sudah berjaya melepasi halangan pertama dan mempunyai prospek amat cerah untuk meraih kemenangan pada PRN kali ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

749
Kongsi :
Previous post PGA9 rampas barangan runcit, kosmetik, tembakau seludup bernilai RM500,000
Next post Bantuan khas kewangan RM350 turut diberi kepada Veteran ATM tidak berpencen – Ismail Sabri
Ubah saiz-+=