Sorting by

×

IDENTITI LIMA MANGSA RENTUNG DI UMBAI DIKENAL PASTI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

SERKAM 13 Februari – Identiti lima beranak rentung dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Jasin Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, mangsa yang maut merupakan ahli keluarga iaitu ibu bersama dua anak lelaki dan dua anak perempuan iaitu Laila Fathinah Mustapa, 37; Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13; Izz Daffa Hafizuddin, 7; Nur Dalilah Khadijah, 6 dan Izz Danish Fathi, 4 tahun.

Manakala, suami dan bapa mangsa iaitu Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35 terselamat dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1.30 pagi itu.

Menurut beliau, hasil siasatan awal daripada suami dan bapa mangsa, kesemua mereka sedang tidur di rumah, sebelum isterinya memaklumkan rumah mereka telah terbakar dan api sedang marak.

Ketika itu, ujarnya, suami dan bapa mangsa cuba menyelamatkan kesemua ahli keluarganya namun gagal kerana pergerakan terbatas ekoran kaki kanannya patah (bersimen), selain mengalami sesak nafas akibat kepulan asap tebal.

“Api telah berjaya dipadamkan kira-kira jam 3 pagi dan pasukan penyelamat telah menemui lima mayat rentung iaitu isteri dan anak-anak mangsa.

“Muhammad Khairuddin yang mengalami kecederaan telah dikejarkan ke Hospital Jasin untuk mendapatkan rawatan awal, manakala lima jenazah yang rentung telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Dalam pada itu, Mohamad Rusli turut menasihati orang ramai agar sentiasa peka dengan kawasan kediaman dan menjaga keselamatan harta benda.

Sebelum ini, Melaka Hari Ini melaporkan lima beranak termasuk empat kanak-kanak terkorban dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, wanita berusia 35 tahun dan empat anaknya berusia antara dua hingga 13 tahun terkorban dalam rumah separa batu dan kayu itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

406
Kongsi :
Previous post LIMA BERANAK RENTUNG: JIRAN DENGAR JERITAN MENYAYAT HATI
Next post WRUR: ‘KAK SOM’ MAHU SANTUNI 250 KELUARGA