Sorting by

×

ICU Hospital Melaka kian kritikal

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER MOLEK 24 Mei – Jumlah katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka kini berada di tahap kritikal apabila terdapat 145 pesakit kritikal sedang dirawat daripada keseluruhan 114 katil yang ada di wad berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, sebelum ini hospital berkenaan hanya mempunyai 72 katil ICU dan jumlah itu sudah ditambah apabila pandemik COVID-19 melanda negara.

Jelasnya, bagi pesakit COVID-19 sejumlah 70 katil ICU telah disediakan dan sehingga kini terdapat 51 pesakit tahap 4 dan 5 sedang ditempatkan di wad isolasi berkenaan.

“Untuk COVID-19 sahaja kita sudah menggunakan 72.9 peratus katil di ICU dan sembilan daripadanya perlu menggunakan alat bantuan pernafasan. Jadi boleh dikatakan ia berada di tahap kritikal.

“Kritikal kerana kita kini terpaksa menyediakan katil ICU di wad-wad biasa. Untuk sediakan katil di wad biasa bukan mudah kerana katil yang digunakan bukan katil biasa, banyak peralatan yang perlu dipasang dan sebagainya.

“Boleh dikatakan berbanding sebelum ini, kita sudah meningkatkan hampir 50 peratus katil ICU baharu di Hospital Melaka,” katanya dalam sidang media di Japerun Ayer Molek, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Rahmad turut menyuarakan kebimbangan apabila jangkitan COVID-19 membabitkan kes import B (jangkitan dari luar Melaka) masih meningkat setiap hari.

Katanya, setakat semalam sahaja, terdapat sembilan kes import B direkodkan yang mana ia dikhuatiri boleh merebak ke dalam komuniti jika tidak dikawal.

“Kes import B ini berlaku daripada aktiviti rentas negeri mungkin daripada ziarah kematian atau urusan kerja di negeri lain yang kemudiannya dibawa masuk ke Melaka.

“Bagi saya ia memang membimbangkan kerana hampir setiap hari ada sahaja kes-kes baharu daripada import B direkodkan di negeri ini.

“Selain kes import B, jumlah kematian juga semakin membimbangkan apabila setiap ada hari ada sahaja kematian direkodkan dan sebab itulah saya meminta semua jika tiada keperluan untuk keluar sila duduk di rumah dalam usaha membantu kita memerangi pandemik ini,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

483
Kongsi :
Previous post Polis Melaka siasat lima VIP, artis langgar SOP PKP
Next post ‘Nasi cincin’ kejutan ‘frontliner’ rai ulang tahun perkahwinan
Ubah saiz-+=