Sorting by

×

ICAF 2024: SUNGAI MELAKA PENUH WARNA-WARNI

Masa Membaca:1 Minit, 58 Saat

BANDARAYA MELAKA 26 Oktober – Malam Gala dan Perasmian International Cultural & Arts Festival @Sungai Melaka 2024 (ICAF 2024) berlangsung penuh gilang-gemilang dengan pelbagai pengisian menonjolkan keunikan seni dan budaya.

Majlis yang mewarnai sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) itu menggabungkan empat segmen berbentuk muzikal di pentas terapung dan bot Sungai Melaka.

Segmen pembukaan dimulakan dengan persembahan bertajuk ‘Guruh – Antara Sungai, Laut & Daratan’- iaitu bagaimana Melaka bermula dari sebuah muara ke Pelabuhan Maritim.

Alunan dendangan syair serta puisi rejang bertajuk Rejang Sang Kancil dendangan Norliza Md. Yamin dan Suffian Khirham diangkat martabatnya sebagai pemula kisah Melaka.

Seterusnya, segmen Jalur Sutera Maritim pula mengambil tempat dengan menceritakan perluasan empayar Melaka hasil pertembungan Timur dan Barat yang membentuk ekosistem seni budaya yang indah.

Ia menampilkan artis seperti Rojer, Shazreen Shaharum, persembahan paluan rebana keras atas perahu, dondang sayang peranakan oleh Trio Peranakan, persembahan lagu-lagu yang terkenal dari gugusan kepulauan Melayu seperti Riau dan Aceh-Laksamana Raja di Laut dan Adat yang memukau orang ramai.

Turut dipaparkan ialah persembahan etnik Portugis serta boria Pulau Pinang.

Malam Gala kemudiannya dimeriahkan dengan segmen Angin Selat Melaka yang menampilkan artis, Naim Daniel yang mendendangkan lagu popularnya, Sumpah dan Sembah.

Turut menyerikan majlis, persembahan kebudayaan dari 10 buah negara dan negeri dalam Malaysia membabitkan seramai 250 delegasi Festival Kesenian Rakyat Antarabangsa.

Antara negara terlibat adalah Uzbekistan, Korea Selatan, Singapura, Indonesia, Thailand dan Filipina, manakala Malaysia diwakili Sabah, Sarawak dan Pulau Carey, Selangor.

Malam Gala dan Perasmian ICAF 2024 itu telah disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam yang hadir bersama isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Utama Datuk Wira Zuriyah Ab. Aziz.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan, Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan negeri serta lain-lain kenamaan.

Menariknya, kenamaan dan pengunjung yang hadir turut kelihatan segak mengenakan busana tradisional klasik pada Malam Gala dan Perasmian ICAF 2024 itu.

Malam penuh bersejarah itu diakhiri dengan persembahan lagu tema TMM2024, Senandung Anak Melaka dan pertunjukan bunga api.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1314
Kongsi :
Previous post FESTIVAL SUNGAI MELAKA GAMIT JUTAAN PENGUNJUNG SEJAK 2012
Next post UTEM JUARA MENARA TAMING SARI ‘URBAN HUNT’
Ubah saiz-+=