Ibu tunggal usahakan tanaman pokok hiasan demi kelangsungan hidup
KUALA LINGGI 24 Mac – Status sebagai ibu tunggal tidak seharusnya sekadar berserah kepada nasib, sebaliknya harus kuat semangat dan berusaha gigih demi kelangsungan hidup.
Itulah pegangan Hartini Othman, 51, yang sanggup berusaha bagi membantu menampung keperluan keluarganya selepas berpisah dengan suami empat tahun lalu.
Ibu kepada sembilan anak berusia 12 hingga 33 tahun itu berkata, dia menggunakan ilmu menanam pokok bunga dan sayur dipelajari daripada arwah neneknya Kronjee Berhanee, untuk menjana pendapatan.
“Selepas berhenti daripada bertugas sebagai pengawal keselamatan empat tahun lalu saya kini mampu tersenyum kerana meraih pendapatan yang mencukupi bagi meneruskan kelangsungan hidup hasil menjual pokok hiasan.
“Sebagai permulaan saya beli anak pokok bunga ros, kesidang dan keladi yang kemudian dijual semula.
“Saya menjadikan halaman rumah sebagai kebun mini dengan menanam pelbagai pokok hiasan,” katanya ketika ditemui di Taman Seri Redan, di sini, hari ini.
Menurutnya, pada kebiasaan pelanggan membuat tempahan seminggu lebih awal dan memberikannya masa cukup untuk menyiapkan pokok hiasan berkenaan.
Dia memberitahu pokok hiasan dijual pada harga antara RM10 hingga RM100 bergantung kepada jenis.
“Sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada Jun tahun lalu, jualan saya meningkat, ramai yang tidak berani keluar rumah jadi mereka menanam pelbagai pokok hiasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.