Sorting by

×

Ibu tunggal sedang jalani kuarantin cemas dapur terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

KESIDANG 20 Julai – Seorang ibu tunggal yang sedang menjalani kuarantin kendiri COVID-19 berdepan detik cemas apabila dapur rumahnya di Taman Melaka Baru, di sini, terbakar dalam kejadian tengah malam tadi.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 11.54 malam sebelum menggerakkan 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah.

Katanya, setibanya di lokasi, mangsa berusia 42 tahun telah berjaya menyelamatkan diri dengan keluar dari rumah berkenaan dan pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran itu.

ANGGOTA bomba lengkap PPE membantu memindahkan mangsa untuk menjalani kuarantin di sebuah hotel.

“Kebakaran melibatkan bahagian dapur dan peratusan kebakaran melibatkan anggaran 20 peratus berkeluasan 5×20 kaki.

“Unit siasatan kebakaran akan menyiasat punca kebakaran itu dan operasi tamat pada jam 12.42 tengah malam tadi,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Zulkhairani menambah, selepas pemadaman selesai pihaknya turut membantu memindahkan mangsa untuk menjalani kuarantin di sebuah hotel yang mana kos kuarantin itu dibiayai wakil rakyat kawasan.

Atas faktor keselamatan, ujarnya, anggota lengkap berpakaian sut pelindung diri (PPE) telah membawa mangsa sehingga ke bilik hotel sambil turut dibantu anggota polis.

“Walaupun ini di luar bidang tugas kami tetapi kita tetap membantu mangsa sebagai tindakan dan aktiviti yang dinamakan Pusat Sehenti Pasca Insiden(PSPI),” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Aidiladha : Sanggup tunggu sejak awal pagi
Next post Kes baharu meningkat, 12,366 kes dicatat hari ini – Dr Noor Hisham
Ubah saiz-+=