Ibu tunggal rugi RM225,900 dijerat cinta maya

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 18 Mac- Seorang ibu tunggal berputih mata selepas wang simpanan miliknya berjumlah RM225,900 lesap diperdaya duda anak satu yang dikenali melalui laman sosial Oktober tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, ibu kepada enam cahaya mata yang bekerja sebagai pegawai sumber manusia di sebuah syarikat swasta itu terjerat cinta maya selepas berkenalan dengan suspek yang menggunakan nama Muhammad Nasarudin di laman sosial berkenaan.

Katanya, hubungan antara wanita berkenaan suspek menjadi semakin rapat sebelum mereka berkomunikasi melalui aplikasi Whatsapp selain suspek mengaku warganegara Malaysia dan menetap dan mempunyai perniagaan di luar negara.

“Bagi meyakinkan mangsa dirinya memiliki sejumlah wang yang banyak, suspek meminta mangsa memindahkan wang miliknya dari akaun West Business Finance yang tidak wujud ke sebuah akaun Bank of China berjumlah 42,000 USD dengan memberikan akaun dan kata kunci yang berdaftar atas namanya.

“Suspek meminta bantuan mangsa sekali lagi untuk mendahulukan wang sebelum membuat membuat transaksi pertama sebanyak RM 10,900 secara berperingkat antara 2 Jan hingga 3 Jan 2022 ke dalam akaun yang didakwa milik ibu suspek,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, suspek sekali lagi meminta bantuan mangsa untuk memindahkan wang dari akaun sama berjumlah RM2.5 juta ke dalam akaun firma guaman dengan mendakwa bayaran itu digunakan untuk pembelian rumah di Setia Alam.

“Bagaimanapun, transaksi itu gagal kerana pemindahan amaun wang yang tinggi perlu dikenakan bayaran kepada International Monetary Fund (IMF).

“Suspek meminta mangsa untuk mendahulukan wang dengan membuat lapan transaksi keseluruhannya berjumlah RM 215,000 ke dalam akaun diberikan suspek,” katanya.

Sundra Rajah berkata, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas wang simpanan miliknya dipindahkan ke akaun tidak dikenali sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Banda Hilir.

Jelasnya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Pihak JSJK meminta orang ramai tidak mudah membuat sebarang pembayaran atau transaksi pembayaran dengan tawaran mencurigakan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

530
Kongsi :
Previous post Graduan UTeM capai kebolehpasaran lebih 90 peratus, jadi buruan utama majikan
Next post 1,395 graduan Kolej Komuniti Melaka diraikan esok
Ubah saiz-+=