Sorting by

×

Ibu tunggal raih Anugerah Hero Pekerja Pembersihan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

ALOR GAJAH 18 Jun – Seorang ibu tunggal, Rohani binti Yasin, 53, dari sini, telah dipilih sebagai penerima Anugerah Hero Pekerja Pembersihan mewakili Melaka sempena sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020 (Garbage Man Day 2020) yang berlangsung semalam.

Rohani yang mempunyai empat orang anak merupakan Pekerja Rendah Am (PRA) sapuan di SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) cawangan Alor Gajah dan sudah berkhidmat sejak 11 tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif SWM Environment, Ho De Leong berkata, pemilihan Rohani dibuat berdasarkan pencapaiannya yang cemerlang, komitmen tinggi terhadap kerja serta mempunyai hubungan baik dengan rakan sekerja.

“Anugerah ini merupakan satu pengiktirafan kepada pekerja pembersihan sebagai hero yang bertungkus-lumus memastikan keselesaan masyarakat dengan menjaga kebersihan persekitaran.

“Semoga anugerah ini dapat membuka mata orang ramai bahawa pekerja pembersihan juga mempunyai sumbangan penting terhadap negara,” katanya.

Sambutan Hari Pekerja Pembersihan 2020 dianjurkan buat julung kalinya oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bagi menghargai sumbangan pekerja pembersihan termasuk memilih Anugerah Hero Pekerja Pembersihan dari setiap negeri yang diwakili syarikat konsesi.

Anugerah itu, termasuk hadiah wang tunai RM1,500 dan sijil kepada setiap pemenang, telah disampaikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dalam satu majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat SWCorp, Cyberjaya semalam.

Sementara itu, Rohani berkata, dia tidak pernah malu dengan pekerjaannya sebagai pekerja sapuan sampah yang menjadi sumber rezeki utama bagi menanggung keluarga setelah kematian suaminya, Mohd Rashid Sampay yang juga merupakan pekerja SWM Environment kira-kira dua tahun lalu.

“Malah, saya berbangga kerana dengan pekerjaan ini saya mampu menyara anak-anak dan memastikan mereka berjaya dalam pelajaran serta mencapai impian dan cita-cita masing-masing.

“Selagi mempunyai kudrat, saya akan terus bekerja bagi memastikan aspek kebersihan khususnya di Alor Gajah sentiasa terjaga,” katanya.

Views:

543
Kongsi :
Previous post Melaka luluskan 100 lokasi baharu pasar pagi, malam dan bazaria
Next post Peniaga durian perlu mohon lesen sementara
Ubah saiz-+=