Sorting by

×

Ibu tunggal, OKU, warga emas terharu keprihatinan Ketua Menteri

Masa Membaca:2 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 22 Mac – “Alhamdulillah, saya begitu terharu dengan keprihatinan Ketua Menteri kerana sumbangan ini begitu besar maknanya dan dapatlah saya buat persiapan untuk menyambut lebaran nanti,” kata seorang ibu tunggal, Samiah Aman, 63.

Samiah merupakan antara 390 penerima Sumbangan Ramadan membabitkan 13 Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam daerah Melaka Tengah yang disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Samiah yang juga seorang suri rumah dari Klebang Kecil berkata, keprihatinan Ketua Menteri dalam aspek kebajikan dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik sepertinya wajar diberi pujian.

“Bantuan seperti inilah yang saya tunggu-tunggukan kerana ia sedikit sebanyak membantu meringankan beban saya pada Ramadan tahun ini.

“Meskipun lebaran tahun ini disambut dengan sederhana, namun saya cukup bersyukur kerana bantuan ini amat besar maknanya kepada saya dan keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Img 20240322 Wa0001
SAMIAH

Terdahulu, kesemua penerima diraikan pada Majlis Penyampaian Sumbangan Ramadan dan Berbuka Puasa Bersama YAB Ketua Menteri Melaka Bagi Daerah Melaka Tengah Tahun 2024, di Masjid Al Alami, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.

Program itu turut dihadiri, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Kalsom Noordin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.

Sementara itu, ibu kepada seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU), Ramlah Ismail, 62, menyifatkan bantuan yang diterima dapat dijadikan tambahan untuk membeli pakaian raya buat anaknya, Muhamad Asraf Hanafi Hasnor, 28.

Dia begitu terharu dengan bantuan tersebut yang dapat meringankan beban apatah lagi dalam membesarkan anak yang disahkan OKU sejak 16 tahun lalu akibat kemalangan jalan raya.

“Sumbangan ini dapatlah saya membelikannya baju raya, saya sangat bersyukur sebab akhirnya ada juga orang yang memandang dan meraikan kami.

“Alhamdulillah saya sangat bersyukur dan berharap lebih ramai tampil membantu golongan seperti kami pada masa akan datang,” katanya yang berasal dari Cheng.

Img 20240321 195733
ZALEHA

Nada sama turut diluahkan seorang warga emas yang juga OKU, Zaleha Ibrahim, 69, yang menganggap keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan sepertinya perlu dicontohi semua pihak.

Dia yang berasal dari Peringgit Jaya berkata, kepayahan yang dihadapi insan sepertinya wajar diberi perhatian kerana bantuan seperti itu mampu memberi sinar harapan menjelang lebaran nanti.

“Dengan bantuan ini dapatlah membantu saya membeli keperluan seperti beras dan barang dapur dan ia sangat meringankan bebanan selama ini.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri di atas sumbangan ini dan berharap bantuan ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun mendatang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post Stoking Kalimah Allah: Bukan soal politik, tapi kesucian agama – KM
Next post Kerajaan Perpaduan Melaka boleh jadi contoh – KM
Ubah saiz-+=