Sorting by

×

Ibu tunggal cekal sambut Aidilfitri tanpa suami

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

LENDU 3 Mei. – Bukan mudah untuk menyambut Aidilfitri tanpa suami kerana persiapan untuk menyambut Syawal bagi anak-anak terpaksa dilakukan secara bersendirian oleh si isteri.

Jika ketika arwah suami masih ada, segala perbelanjaan ditanggung bersama-sama tetapi kini segalanya terpaksa dipikul bersendirian.

Bagi Nadia Zakaria, 39, pemergian suami buat selama-lamanya akibat serangan jantung pada Disember tahun lalu benar-benar mencabar sanubarinya.

NADIA (tengah), Fatwati (kiri) dan Hartini berbincang sesuatu selepas menerima sumbangan kuih dan duit raya daripada Pergerakan Wanita UMNO pada program Khatam al-Quran di Masjid Salmah Khamis, Durian Daun, Masjid Tanah.

“Arwah mengadu sakit dada dan dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk menerima rawatan tetapi Allah lebih sayangkannya.

“Sekarang saya bersama tiga anak berusia tujuh hingga 15 tahun meneruskan kehidupan dengan menggunakan pencen penakat arwah suami yang ketika hayatnya bekerja di kilang pemasangan kereta di Alor Gajah,” katanya ditemui selepas menerima
sumbangan kuih dan duit raya daripada Pergerakan Wanita UMNO pada program Khatam al-Quran di Masjid Salmah Khamis, Durian Daun di sini, semalam.

Sumbangan kepada 30 ibu tunggal disampaikan isteri Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali, Datin Seri Utama Munira M. Yusop.
Turut hadir, Ketua Wanita UMNO negeri, Datuk Wira Latipah Omar.

Fatwati Md Yunus, 50, berkata sejak kematian suami lapan tahun lalu, dia membuat persiapan menyambut Aidilfitri bersendirian untuk tiga anak berusia antara 20 hingga 26.

“Sekarang anak sudah dewasa dan bekerja, jadi mereka beli pakaian sendiri tetapi Aidilfitri tanpa arwah suami yang pergi lapan tahun lalu sudah pasti tidak sama seperti ketika arwah masih ada,” katanya.

Hartini Abdullah, 42, berkata sejak berpisah dengan bekas suami lima tahun lalu, Aidilfitri diraikannya bersama-sama lima anak berusia antara enam hingga 18 tahun.

Katanya, jodoh yang tidak panjang menyebabkan dia memilih untuk hidup tanpa suami tetapi anak tetap menjadi penyeri hidupnya kerana segala kasih dan sayang tertumpah hanya untuk mereka.

“Setiap kali Aidilfitri menjelma saya dan anak-anak tetap gembira menyambutnya dan biarlah kisah hidup bersama bekas suami kekal dalam lipatan sejarah hidup,” katanya yang bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan diberikan Wanita UMNO.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

932
Kongsi :
Previous post Saling percaya asas kesefahaman UMNO dan PAS Melaka
Next post Pemuda lumpuh cekal bantu ibu
Ubah saiz-+=