Sorting by

×

Ibu tunggal ‘bangkit’ demi anak

Masa Membaca:1 Minit, 56 Saat

BUKIT KATIL 27 Sept. – Ditinggalkan suami dan diserang angin ahmar sehingga koma tiga hari tidak mematahkan semangat ibu tunggal beranak tujuh, Saidatul Raha Ab Rahman berusaha lebih gigih membaiki kehidupan.

Bagi Saidatul, 48, kepayahan hidup sejak berpisah pada 2014 dan terlantar sakit lima tahun selepas itu berjaya mengubah dirinya menjadi wanita yang kuat pada hari ini demi membesarkan tujuh anaknya yang kini berusia 22 sehingga 10 tahun.

SAIDATUL dan anak-anaknya bergambar di hadapan rumah mereka selepas menerima bantuan sumbangan kit makanan sumbangan Tabung Haji dan PDRM.

“Setahun lepas koma, saya langsung tidak boleh bekerja dan melakukan kerja berat, masa itu saya sangat runsing memikirkan nasib anak-anak yang masih kecil, mujurlah ibu bapa, keluarga dan rakan-rakan banyak membantu.

“Saya diserang angin ahmar selepas terjatuh di bilik air dan ketika itu saya memang ada sejarah penyakit darah tinggi. Mungkin terlalu bekerja kuat dan banyak membuat kerja sambilan bagi menampung kehidupan keluarga,” katanya.

Dia ditemui pada Majlis Pengagihan Bakul Makanan kepada Golongan Asnaf dan B40 oleh Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti (KJPKK), Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin dan wakil Ibu Pejabat Polis Kontijen Melaka dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji dan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad di rumahnya dekat Jalan Bukit Katil.

Menerusi program itu, kira-kira 1,000 bakul makanan akan disampaikan kepada penerima bantuan melibatkan Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin bagi meringankan beban mereka yang terjejas akibat pandemic COVID-19.

SAIDATUL.

Menurut Saidatul lagi, selepas setahun menjalani rawatan lanjut dan fisioterapi, dia berjaya pulih namun terpaksa menerima hakikat tidak mampu melakukan tugas lama sebagai pekerja taska.

“Saya terpaksa memikirkan cara lain untuk mencari sumber pendapatan baharu bagi menampung keperluan keluarga dan memutuskan cuba berniaga kecil-kecilan atas talian.

“Saya terima sahaja ketentuan, rezeki yang sudah Allah tetapkan dan tidak pernah berhenti berdoa serta tawakal padaNya demi anak-anak,” katanya.

Akhirnya, usaha gigih dan semangat kental wanita itu membuahkan hasil apabila perniagaan kecil-kecilannya atas talian menjual biskut Herdy’s kini mencapai jualan RM4,000 sebulan.

“Hasil jualan biskut ini dapatlah saya menambah pendapatan melalui bayaran komisen yang diterima selain bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM dan Jabatan Kebajikan Masyarakat lebih RM1,000 sebulan,” katanya.Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

681
Kongsi :
Previous post Ibu anak autisme syukur terima bantuan susu formula
Next post Menyamar pelanggan, lelaki larikan rantai emas, dodol peniaga
Ubah saiz-+=