Ibu tunggal anak lima terima hadiah terindah
TANJUNG BIDARA 4 Februari – Hati siapa yang tidak hiba apabila rumah yang dibeli lebih 35 tahun lalu dilelong dek kerana kesempitan hidup yang mencengkam secara tiba-tiba.
Semuanya berlaku tanpa diduga apabila anak lelaki sulung yang menjadi tonggak harapan keluarga jatuh sakit sehingga tidak mampu bekerja selama setahun menyebabkan teratak yang didiami selama 30 tahun disita.
Bertitik tolak daripada itu, ibu tunggal, Rohani Karim, 60, terpaksa hidup berpindah-randah dan menyewa di sekitar Masjid Tanah sehingga pernah dihalau keluar kerana tidak mampu membayar sewa tertunggak.
Namun kecekalan ibu kepada lima anak itu dalam membesarkan anak-anak wajar dipuji kerana tidak pernah mengeluh walaupun sekadar bekerja sebagai pekerja pembersihan sebuah sekolah agama dengan gaji RM520 sebulan.
Rohani berkata, selain gaji tetap dan bantuan makanan oleh Zakat Melaka, dia juga akan mengambil upah membersihkan rumah penduduk kampung untuk mendapatkan pendapatan sampingan demi menyara keluarga.
Namun benarlah bagai dikata, selepas hujan, timbul pelangi.
Nasib yang ditanggung asnaf yang juga anak jati Kampung Lubuk Redan itu mendapat perhatian Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Better Brighter Home @ Baiti Jannati’, TNB telah menghadiahkan sebuah rumah tiga bilik bernilai RM65,000 untuk membantu meringankan beban Rohani dan keluarga.
Simbolik penyerahan rumah tersebut telah disempurnakan Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara.
Menurut Rohani, sumbangan ‘syurga’ baharu itu disifatkan sebagai hadiah terindah untuknya terutama apabila ia diterima menjelang kehadiran Ramadan dan Syawal tahun ini.
“Perasaan sukar untuk digambarkan, tetapi saya gembira dan bersyukur kerana dapat memiliki sebuah rumah selepas merasai kehilangan (rumah) lima tahun lalu.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri, TNB dan ahli keluarga yang banyak membantu saya smdan memberikan sokongan untuk kami meneruskan kehidupan selama ini.
“Alhamdulillah rumah yang diterima ini cukup selesa dan ia memberi sinar baharu untuk saya dan anak-anak menjelang ketibaan Ramadan dan Syawal nanti,” katanya kepada pemberita.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.