
IBU RENTAS DESA SAMBIL ‘HEALING’
TANJUNG BIDARA 16 Februari – Golongan ibu mengambil peluang untuk ‘healing’ bersama rakan-rakan menerusi acara Merentas Desa dan Fun Walk di Pantai Tanjung Bidara, hari ini.
Acara itu diadakan bersempena Majlis Penutup Karnival Kejohanan Sukan Dua Jiwa Satu Hati Dan Sukan Badan Beruniform Piala Ketua Menteri Melaka Tahun 2025.
Peserta Noor Hamamah Izzati Abu Hashim, 25, berkata dia kembali menyertai acara itu selepas lebih lapan tahun menamatkan zaman persekolahan.
Ibu kepada seorang anak ini mengambil peluang itu bersantai bersama rakannya sambil menikmati keindahan suasana kampung melalui trek sejauh lima kilometer.
“Teringat kembali memorial menyertai aktiviti seperti ini sewaktu sekolah menengah, memang sudah lama saya tinggalkan. Jadi kali ini saya ambil peluang sertai larian bersama kawan untuk merasai suasana dalam kampung selain dapat menghilangkan rasa tekanan.
“Bagus acara begini diadakan, terima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kerana menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Sementara itu Nurfatini Mohamad Roslee, 25, baru pertama kali mengambil bahagian dalam acara seumpama itu berkata, berlari dalam kampung adalah satu pengalaman yang amat menarik.
“Memang seronok kerana ini pertama kali saya merentas desa bersama kawan-kawan, dengan suasana kampung kita dapat hilangkan tekanan.
“Sebelum ini hanya fikir kerja dan anak-anak, kali ini kita rehatkan diri dengan menyertai aktiviti yang lebih sihat.
“Diharap program begini akan diteruskan lagi pada masa akan datang untuk menggalakkan lebih ramai masyarakat mengamalkan budaya hidup sihat,” katanya.
Terdahulu pelepasan acara berkenaan disempurnakan oleh Ketua Menteri kira-kira jam 7.30 pagi.
Acara merentas desa melibatkan dua iaitu kumpulan pertama bagi lelaki veteran, terbuka dan b16, diikuti kumpulan kedua (wanita terbuka, perempuan b16 dan b12 serta lelaki b12).
Manakala kumpulan ketiga adalah bagi acara ‘Fun Walk ‘Uniform Spirit’ yang turut disempurnakan oleh Ab Rauf.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.