Ibu, rakan lelaki dan nenek tidak mengaku salah dera dua kanak-kanak

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

GEORGE TOWN, 31 Mei – Seorang ibu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mendera dua anaknya, masing-masing berusia tiga dan lima tahun dalam kejadian pertengahan bulan ini.

Wanita berumur 28 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu didakwa melakukan penderaan dan penganiayaan kepada anak lelakinya berusia tiga tahun dan perempuan berusia lima tahun sehingga mengakibatkan kecederaan antara 13 hingga 27 Mei lepas di rumah pangsa di Jalan Air Itam di sini.

Dia didakwa di bawah Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Mazdi Abdul Hamid membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak dibenarkan mengganggu mangsa atau saksi sehingga kes selesai dibicarakan.

Mahkamah menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, nenek mangsa dan rakan lelaki ibu kanak-kanak tersebut turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan penderaan ke atas kedua-dua kanak-kanak itu pada tarikh dan waktu yang sama.

Nenek mangsa, 52, dan lelaki berusia 42 tahun yang merupakan penjaga kepada mangsa, didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam, namun nenek mangsa memohon dibenarkan diikat jamin kerana menanggung seorang anak yang masih bersekolah selain hanya bekerja sebagai tukang cuci dengan pendapatan kira-kira RM70 sehari.

Rakan lelaki ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu gerai jualan durian dengan pendapatan kira-kira RM20 sehari juga memohon dibenarkan diikat jamin.

Hakim Norsalha Hamzah membenarkan mereka diikat jamin masing-masing RM12,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati atau mengganggu mangsa dan saksi kes tersebut selain perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga perbicaraan kes selesai.

Sebutan semula kes pada 4 Julai.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

898
Kongsi :
Previous post Kementerian diminta percepat projek pembangunan – PM Ismail Sabri
Next post Polis kumpul maklumat dakwaan tahanan Rohingya di pasar borong KL, Selayang
Ubah saiz-+=