Ibu menggigil lihat rumah anak dijilat api

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

GADEK 8 Julai-“Saya sudah tahu dia tiada,” itu bisik hati seorang ibu sebaik melihat api marak menjilat kediaman anaknya di Kampung Cherana Putih, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.55 pagi tadi Allahudin Abd Hamid, 51, bersama anak bongsunya Muhamad Badrol, 5, ditemui rentung selepas kediaman mereka terbakar.

Siti Zainon Abdullah, 85 berkata selepas tersedar daripada tidur dan menyedari rumah anak ketujuh dari sembilan itu terbakar, dia bergegas keluar ke rumah jiran untuk meminta tolong.

“Saya ketuk rumah jiran mintak tolong.. tolong.. dan tunjukkan arah yang kediaman yang terbakar dalam keadaan mengigigil,” katanya yang tidak dapat menahan sebak mengenangkan kejadian menimpa anak dan cucunya.

MAYAT manga kebakaran dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat. Foto ihsan JBPM Melaka

Kakak sulung mangsa Seti Zaleha Ab Hamid, 68, berkata, ketika kejadian emaknya sedang tidur di bilik belakang di rumah bersebelahan dengan kediaman adiknya yang terbakar.

“Emak memaklumkan dia tiba-tiba terasa panas bahang dan bangun ke dapur dan menjengah ke luar lalu ternampak rumah adik terbakar.

“Dalam keadaan cemas, emak bergegas keluar ke rumah jiran bersebelahan. Tetapi emak maklumkan dia dapat rasakan mereka berdua sudah tiada,” katanya.

KEADAAN rumah ketika kebakaran mengorbankan dua beranak di Kampung Cherana Putih, awal pagi tadi. Foto ihsan JBPM Melaka

Sementara itu jiran mangsa Ashak Ujang, 75, berkata, kali terakhir dia berjumpa arwah semalam dan sempat berbual selain dua beranak itu juga sempat bermain bola bersama pada sebelah petang.

“Mereka dua beranak memang rapat dan dia yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori baru berhenti kerja kerana tiada orang yang hendak menjaga anaknya itu.

“Sementara ini dia sedang siapkan pagar untuk kubur, ada yang sudah siap. Dia buatkan bila orang kampung minta tolong dan sebagai amal jariah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1169
Kongsi :
Previous post Jambatan sementara di Kampung Iboi dijangka siap esok
Next post PMM himpun 93 peminat basikal BMX
Ubah saiz-+=