
IBU MAUT KEMALANGAN SELEPAS HANTAR ANAK KE SEKOLAH
MERLIMAU 24 Mac – Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Melaka-Muar, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, mangsa, Noor Faradhillah Muhammad Yusuff, 42, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di badan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai sedang sedang menunggang motosikal dari arah Jalan Muar Lama untuk keluar simpang menuju ke jalan utama selepas selesai menghantar anaknya ke sekolah.
Katanya, ketika keluar simpang, sebuah kereta dari arah Sungai Rambai menuju Merlimau dipercayai tidak sempat mengelak mangsa kerana kedudukannya yang sudah terlalu dekat menyebabkan berlaku rempuhan.
“Akibat pelanggaran itu mangsa telah terjatuh dan cedera di badan serta kaki sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi
“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Perubatan Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan melalui pegawai penyiasat Inspektor Marwan Shafiq Mohd Latfi di talian 011-11127533.
“Maklumat juga boleh disalurkan kepada kaunter aduan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di talian 06-529 2222 sambungan 260,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.