Ibu kandung, teman lelaki ditahan disyaki dera dua kanak-kanak
KUALA LUMPUR 18 Julai – Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya malam tadi kerana dipercayai mendera dua anak kandungnya berusia dua dan tiga tahun di sekitar Taman Samudera, Batu Caves, dekat sini.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada orang awam memaklumkan, penemuan dua kanak-kanak perempuan dalam keadaan tidak terurus di Jalan Samudera Utara 1, di sini kira-kira 1 petang semalam.
Menurutnya, pemeriksaan fizikal terhadap kedua-dua kanak-kanak tersebut mendapati, terdapat kesan calar dan lebam di tangan, pipi, kaki dan dagu, dan telah dihantar ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan lanjut.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa tinggal bersama ibu kandung dan teman lelaki ibu mereka, di sebuah rumah flat yang disewa di Taman Samudera, Batu Caves.
“Susulan itu, ibu mangsa dan teman lelakinya berusia 22 tahun serta seorang lelaki iaitu penjaga mangsa berusia 35 tahun, ditahan 9.30 malam tadi bagi membantu siasatan, serta akan dibawa ke Mahkamah Selayang hari ini bagi permohonan tahanan reman,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganinayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak, dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.