Sorting by

×

Ibu kandung dan bapa tiri dituduh bunuh dan dera Amir

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 10 Feb – Pasangan suami isteri didakwa atas dua pertuduhan membunuh dan mendera anak lelaki mereka dalam prosiding berasingan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.

Pada prosiding di hadapan Majistret Mazana Sinin, tertuduh Mohd Fadzli Abdull Razak, 38, yang juga pemandu lori dan isterinya, Zuraida Atan, 31, suri rumah, didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Zubaidy Amir Qusyairi Abdul Malek, berusia enam tahun satu bulan, di rumah No 9 Jalan KJ 19, Taman Krubong Jaya, dekat sini, pada 29 Januari lalu, jam 3.32 petang.

Mereka dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh dan mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 29 Mac depan bagi mendapatkan laporan bedah siasat.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri, Badius Zaman Ahmad manakala tertuduh wanita diwakili peguam Zamri Idrus, Ishak Mohd Kari, Yusman Che Aman dan Saifuzzaman Ab Rahman.

Tertuduh lelaki pula diwakili peguam Datuk Ahmad Musthafi Mohamad dan Muhammad Firdaus Abd Razak.

Sementara itu pada prosiding di Mahkamah Sesyen, kedua-dua tertuduh masing-masing bapa tiri dan ibu kandung mangsa, didakwa atas pertuduhan mendedahkan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau membenarkannya dianiaya, diabaikan atau didedahkan sedemikian.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di lokasi sama antara 10.30 malam 13 Oktober tahun lalu hingga jam 3.32 petang 29 Januari lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Hakim Nariman Badruddin tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Mac depan.

Melaka Hari Ini sebelum ini melaporkan mayat Zubaidy Amir ditemukan mati lemas di dalam tong air di sebuah rumah di Taman Krubong Jaya, 29 Januari lalu, namun siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa dipercayai didera.

#amir  #dera  #bunuh #krubong #mahkamah #anaktiri #ibuangkat #meninggal

Views:

2186
Kongsi :
Previous post Prosiding kes bunuh dan dera adik Amir bermula hari ini
Next post Tokoh korporat Halim Saad dilantik Pro-Canselor baharu UTem.
Ubah saiz-+=