Ibu dan bapa tunggal disantuni, 200 dodol diagih
ASAHAN 16 April – Dua asnaf yang merupakan ibu tunggal dan bapa tunggal disantuni pada Program Kacau Dodol dan Berbuka Puasa anjuran UMNO Cawangan Gapis Mantai di Kampung Mantai, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan, Fairul Nizam Roslan berkata setiap tahun pihaknya akan menyantuni golongan memerlukan dengan menyampaikan sumbangan kepada mereka.
Jelasnya, tahun ini, program kemasyarakatan itu dianjurkan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersama Ketua UMNO Cawangan Asahan.
“Tahun ini kita ada ibu tunggal, Mon Hashim, 75 dan bapa tunggal, Alias Abdul Latif yang kita santuni dan sampaikan sumbangan.
“Kedua-dua mereka ini merupakan asnaf dan sumbangan yang disampaikan berupa makanan asas untuk juadah menjelang Aidilfitri, selain sedikit wang tunai untuk kedua-dua mereka membeli kelengkapan hari raya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini pada Program Kacau Dodol dan Berbuka Puasa anjuran UMNO Cawangan Gapis Mantai di Kampung Mantai di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, pihaknya turut menjadikan rumah salah seorang penerima sumbangan sebagai lokasi program mengacau dodol.
“Kita buat program ini secara santai, di mana sebelum berbuka puasa kita sampaikan sumbangan, edarkan dodol, tahlil dan berbuka bersama.
“Ini bagi menerbitkan lagi suasana kemeriahan Ramadan di kampung ini dan memberi keceriaan kepada golongan asnaf.
“Untuk program kacau dodol, kita sudah buat sejak pagi sebelum diagihkan kepada 200 penerima terdiri daripada penduduk sekitar,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.