Ibu bapa wajar galak, sokong minat anak-anak berniaga

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

MASJID TANAH 21 Feb. – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa ibu bapa agar memberi galakan terhadap anak-anak terutama golongan mahasiswa menceburi bidang perniagaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, pelbagai inisiatif disediakan pihaknya untuk membantu golongan mahasiswa menjana pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam tempoh pasca penularan pandemik COVID-19.

Jelasnya, kementeriannya menyediakan inisiatif pembiayaan mikro kredit Siswapreneur dengan peruntukan RM20 juta buat mahasiswa di 15 Institut Pengajian Tinggi (IPT) terpilih sejak awal tahun lalu.

MAS ERMIEYATI (kanan) menyampaikan tablet kepada pelajar sekolah untuk kegunaan harian pada program penyampaian tablet samsung dan simkad dari Ahli Parlimen Masjid Tanah secara pandu lalu di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah. Foto: MR. Azli

“Melalui inisiatif dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dilaksanakan dengan projek perantis membabitkan beberapa universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bagi memberi peluang pelajar memiliki geran pembiayaan RM1,000 sehingga RM5,000.

“Inisiatif yang diperkenalkan sejak awal Januari lalu kurang menerima sambutan disebabkan ibu bapa khuatir membenarkan anak mereka memulakan perniagaan dan setakat ini hanya tujuh permohonan telah diluluskan dan tujuh lagi sedang diproses.

“Semua ibu bapa perlu menyokong hasrat ini bagi memberi peluang pelajar menceburi pelbagai jenis perniagaan kecil-kecilan sama ada di dalam dan di luar kampus,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata demikian pada sidang media selepas Program Penyampaian Tablet Samsung dan Simkad Secara Pandu Lalu di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Masjid Tanah, di sini hari ini.

Program yang berlangsung pada jam 9 pagi tadi menyaksikan kira-kira 100 penerima dengan pecahan Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu.

Beliau berkata, bantuan terbabit sekali gus membantu ibu bapa dan murid sekolah kurang kemampuan bagi melaksanakan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tanpa sebarang halangan.

“Biarpun sekolah akan dibuka tidak lama lagi perkara ini sekurang-kurangnya akan membantu keluarga yang selama ini terpaksa berkongsi gajet dan rangkaian Internet bagi mengikuti PdPR.

“Kita menyasarkan tambahan 200 penerima lagi dalam masa terdekat ini bagi membantu keluarga berkeperluan untuk memastikan anak-anak mereka dapat mengulangkaji pelajaran di rumah dengan berkesan,” katanya.

Views:

734
Kongsi :
Previous post Polis sedia pasukan pengiring untuk pergerakan vaksin COVID-19
Next post PM Muhyiddin, Dr Noor Hisham terima suntikan vaksin COVID-19 Rabu ini.
Ubah saiz-+=