Sorting by

×

Ibu bapa remaja diberi penerangan perkembangan siasatan punca kematian

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PUTRAJAYA, 4 Mac – Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin hari ini bertemu dengan ibu bapa remaja lelaki N. Revnesh Kumar yang meninggal dunia secara mengejut dalam komuniti pada 16 Jan, bagi memberikan penerangan berhubung perkembangan terkini siasatan punca kematian mendiang dan komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengenal pasti punca kematiannya.

Beliau berkata hasil dapatan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang telah dijalankan setakat ini termasuk pemeriksaan histologi akan dibentang dan dibincangkan pakar-pakar forensik dalam sesi peer review pada 7 Mac ini untuk pengesahan.

Khairy dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sempena perjumpaan dengan L. Naresh Kumar dan G. Vijayarani di KKM itu memaklumkan laporan bedah siasat dan semua keputusan ujian yang dijalankan akan diserahkan kepada ibu bapa mendiang selepas selesai sesi peer review tersebut.

Khairy berkata KKM juga bercadang untuk membuat beberapa ujian tambahan terhadap sampel tisu dalaman yang ia mungkin perlu dihantar ke luar negara untuk pengujian selanjutnya.

“Kesemua perkara ini telah dimaklumkan kepada kedua ibu bapa mendiang dan mereka memahami penerangan yang diberikan serta bersetuju dengan langkah-langkah yang akan diambil bagi mengenal pasti punca kematian mendiang,” katanya.

Pada 26 Feb lepas, portal media melaporkan ibu bapa kepada remaja yang meninggal dunia beberapa minggu selepas divaksin, menyeru pihak berkaitan menjelaskan punca kematian anak tunggal mereka.

Remaja berumur 13 itu menerima suntikan vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan Presint 18 di sini pada 30 Dis tahun lepas, dan dijadual menerima dos kedua vaksin pada 20 Jan.

Remaja berkenaan dikatakan tiba-tiba rebah di dalam lif blok perumahannya pada 16 Jan untuk menghadiri kelas karate, sebelum dikejarkan ke Hospital Kajang dan disahkan meninggal dunia.

Khairy dalam pada itu berkata perkembangan siasatan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan beliau juga memohon masyarakat untuk menghormati privasi dan perasaan keluarga mendiang.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

605
Kongsi :
Previous post Skim pembiayaan perumahan inovatif PR1MA jadi penanda aras sedia akses kewangan mudah
Next post PRN Johor bukan medan ‘lepas geram’ – Shahrir Samad
Ubah saiz-+=