Sorting by

×

Ibu bapa perlu semai amalan kebersihan sebelum prasekolah, tabika dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

KUALA LUMPUR 16 Jun – Ibu bapa perlu menyemai kepentingan penjagaan kebersihan serta amalan jarak sosial kepada anak-anak sebelum prasekolah dan tabika dibuka semula dalam tempoh dua minggu lagi.

Apatah lagi anak-anak pastinya teruja bertemu kembali rakan yang ‘terpisah’ sejak kira-kira tiga bulan lalu ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac sebelum diteruskan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)  pada 4 Mei dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 10 Jun lepas.

Meskipun prosedur operasi standard (SOP) terperinci akan dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengelak jangkitan COVID-19, ibu bapa seharusnya memainkan peranan membantu memudahkan tugas para guru untuk membiasakan anak-anak mengamalkan normal baharu di institusi pendidikan awal itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan pembukaan semula semua prasekolah dan tabika bermula 1 Julai ini dengan SOP terperinci dijangka diumumkan KPM dalam masa terdekat.

Ia membabitkan 6,216 prasekolah di bawah KPM; 7,887 prasekolah swasta; 1,781 tabika di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta 8,530 tabika kelolaan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Presiden Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) Anisa Ahmad berkata kanak-kanak yang diterap dengan penjagaan kebersihan akan mempraktikkan amalan tersebut.

“Di tadika memang sudah diajar aspek kebersihan dan anak-anak memang amalkan basuh tangan ikut langkah 20 saat.

“Jika ibu bapa turut bantu terapkan nilai yang sama di rumah, normal baharu akan jadi biasa dan risiko di tadika boleh diatasi kerana anak-anak dah biasa diterapkan dengan amalan kebersihan seperti cara basuh tangan untuk elak jangkitan virus.

“Jadi, mereka lebih mudah faham jika kita (guru) minta lakukan,” katanya kepada Bernama.

Setakat semalam, Malaysia mencatatkan sebanyak 8,494 kes positif COVID-19 dengan 121 kematian.

– BERNAMA

Views:

602
Kongsi :
Previous post Kerajaan komited perkasa ekonomi 500,000 pekebun kecil Risda
Next post Penduduk bahagia, Jasin tenang dan mendamaikan
Ubah saiz-+=