Sorting by

×

Ibu bapa perlu lebih peka tentang aktiviti siber anak

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

DURIAN DAUN 17 Okt. – Kanak-kanak lebih mudah terjerumus dalam masalah siber seperti buli siber, pornografi kanak-kanak dan sebagainya akibat kemudahan akses melalui media sosial jika tidak dipantau dengan baik.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar berkata, ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab untuk sentiasa memantau aktiviti kanak-kanak terutama yang berkaitan penggunaan peranti mudah alih dan media sosial.

Katanya, semua pihak perlu bersama-sama menggembleng tenaga bagi memperkasa
generasi pelapis dengan sentiasa cakna dan berhati-hati dalam setiap tindakan dan keputusan yang diambil.

“Untuk melahirkan anak-anak yang dapat mencapai Al-Falah iaitu kecemerlangan duniawi dan ukhrawi, ibu bapa perlulah memainkan peranan utama dalam membimbing dan mendidik mereka dari pelbagai aspek kehidupan agar mereka mampu berdepan dengan cabaran dunia.

“Dengan usaha inj nanti barulah anak-anak generasi pelapis ini dapat mencapai prestasi yang cemerlang dan seimbang dari aspek pelajaran serta akhlak sekali gus menyumbang kepada kejayaan untuk “Mewajah Melaka Rumahku.”,” katanya.

Latipah berkata demikian sewaktu berucap merasmikan  Sambutan Hari Kanak- Kanak Peringkat Negeri Melaka yang bertemakan ‘Bumi Lestari: Kanak-Kanak Dilindungi’.

Program diadakan di Dewan Dewan Rumah Budak Laki-laki Tun Abdul Aziz, Durian Daun itu turut dihadiri Pengarah Jabatan kebajikan Negeri Melaka Burhanuddin Bachik.

Tambah Latipah lagi, kanak-kanak yang merupakan pemimpin dan pewaris dalam mencorak dan merealisasikan impian pada masa hadapan, perlu diperjuangkan kebajikan dan kesejahteraan mereka secara menyeluruh.

Justeru objektif utama pelaksanaan sambutan ini turut bertujuan memberi penghargaan dan penghormatan kepada kanak-kanak bagi mengiktiraf penglibatan mereka secara inklusif dalam masyarakat.

“Tanggungjawab semua pihak merentasi batas agama, kaum dan kelas sosial di negara ini untuk sama-sama berganding bahu dalam memperjuangkan masa hadapan kanak-kanak.

“Bahkan sambutan ini juga boleh diterjemahkan sebagai aspirasi anak-anak Malaysia dalam mempersiapkan diri bagi mendepani masa hadapan yang semakin mencabar, kerana setiap kanak-kanak berhak dilindungi dan mendapat kehidupan yang terbaik.

“Hal ini juga penting agar mereka dapat membesar dengan sempurna dari aspek kognitif, fizikal, sosial dan spiritual untuk menjadi warga negara yang baik dan pemimpin masa depan,” katanya.

Views:

786
Kongsi :
Previous post Muhammad Fakhrul korban usia remaja demi ibu angkat
Next post Tumpahan minyak: Tragedi kembali selepas 24 tahun, cabaran hebat buat petugas
Ubah saiz-+=