Ibu bapa perlu bersama pihak sekolah bentuk kemenjadian pelajar – KM
LENDU 23 Julai – Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan berganding bahu bersama pihak sekolah khususnya para guru dalam memastikan kemenjadian pelajar mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, peranan itu penting bagi mendukung enam ‘Aspirasi Murid’ iaitu Pengetahuan, Kemahiran Berfikir, Kemahiran Memimpin, Kemahiran Dwibahasa, Etika dan Kerohanian serta Identiti Nasional.
“Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dan berganding bahu bersama guru-guru demi kemenjadian anak masing-masing.
“Keseluruhan aspirasi ini perlu dicapai supaya Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 yang telah dirancang oleh kerajaan berjaya, sekali gus dapat melahirkan individu pelajar yang mempunyai keterampilan dan bersahsiah terpuji.
“Adalah tidak adil untuk kita sebagai ibu bapa hanya melepaskan tanggungjawab itu sepenuhnya ke atas bahu guru dan pihak sekolah semata-mata,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Durian Daun (K) (SKDDK) Kali Ke-48 Tahun 2022, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau turut menyatakan amat berbesar hati dengan jemputan berkenaan memandangkan beliau merupakan bekas pelajar yang pernah menuntut di sekolah itu.
“Saya berbesar hati menerima jemputan pihak sekolah dan PIBG memandangkan saya juga merupakan alumni di SKDDK ini,” katanya.
Tambah Sulaiman, bagi mendukung hasrat melahirkan generasi berjaya di masa depan, PIBG juga perlu memainkan peranan sebagai pemudah cara agar kecemerlangan pelajar dapat dicapai.
“Dalam konteks ini, PIBG perlulah bertindak sebagai pemudah cara agar kedua-dua pihak iaitu pihak sekolah dan ibu bapa dapat memahami peranan masing-masing, seterusnya menyumbang ke arah usaha untuk mencapai kejayaan bersama,” katanya lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.