Sorting by

×

Ibu bapa lega kedai alat tulis dan telekomunikasi dibuka

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

BUKIT BARU 16 Julai – Ibu bapa di negeri ini gembira dan lega dengan keputusan kerajaan membenarkan kedai komputer, telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis dibuka semula berkuat kuasa hari ini.

Bagi Kamarul Nizam Yakob, 44, keputusan itu melegakan dirinya yang mempunyai dua anak mengikuti kelas pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Katanya, penutupan kedai buku dan premis jualan alat tulis sejak 1 Julai lalu mengganggu anak-anaknya menjalani PdPR

“Alhamdulillah, kebenaran itu sebenarnya melegakan semua pihak untuk melakukan urusan berkaitan, misalnya nak cetak dokumen untuk PdPR dan sebagainya.

“Selain itu, pembukaan kedai telekomunikasi juga wajar kerana sebelum ini telefon pintar digunakan untuk PdPR rosak tetapi tidak dapat dibaiki kerana kedai tutup.

“Ini menyebabkan anak terpaksa bergilir menggunakan telefon saya,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI) di Bukit Baru, hari ini.

NOOR AZUREEN.

Sementara itu, Noor Azureen Shariff, 38, juga senada dan berpendapat pembukaan kedai terbabit melancarkan urusan pembelajaran PdPR anak-anaknya.

“Saya tak beli pukal barang sekolah anak kerana tak jangka ‘lockdown’ ini berterusan…ingatkan sebulan sahaja dan sekolah dibuka semula macam biasa.

“Bagi saya bagus bila dibuka semula kerana anak-anak memerlukan banyak peralatan seperti kertas warna, kertas kajang dan sebagainya.

“Bila alatan terbatas dan tidak lengkap, anak-anak kurang bersemangat untuk mengikuti kelas atas talian,” katanya dihubungi di sini.

Katanya, keadaan bertambah sukar apabila peralatan diperlukan tidak dijual di kedai runcit biasa manakala ruang jualan di pasar raya ditutup.

VIVIAN.

Guru tadika, Vivian Khoo Choon Huey, 54, berkata, keputusan kerajaan membenarkan pembukaan kedai terbabit tepat pada masanya.

Jelasnya, guru tadika juga melaksanakan PdPR dan kedai-kedai terbabit adalah keperluan sekiranya proses pembelajaran tersebut bermasalah.

“Saya sendiri berdepan kesukaran untuk melaksanakan PdPR apabila peranti digunakan rosak dan kedai komputer pula kedai tutup, mujur ada rakan berkemahiran tolong baiki.

“Peranan saya dan murid yang mengikuti PdPR tidak jauh beza kerana saya juga perlu ke kedai buku untuk membeli buka rujukan dan membeli peralatan mengajar di kedai alat tulis,” katanya ditemui di sini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

871
Kongsi :
Previous post Jangan rentas negeri sambut Aidiladha – TPM
Next post Macau Scam: Gagal bayar denda, seorang wanita dan dua lelaki dipenjara
Ubah saiz-+=