IBU BAPA BUKAN ISLAM GALAK ANAK BERKHATAN
PAYA RUMPUT 3 Februari – “Ayah kata tidak sakit, macam digigit semut saja,” kata Frezie Aernno Ferlius, 12, antara 120 kanak-kanak yang dikhatankan pada Program Jom Berkhatan Peringkat Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput dan DUN Sungai Udang di Japerun Sungai Udang, semalam.
Frezie Aernno yang beragama Kristian berkata, walaupun takut namun ayahnya sering memaklumkan bahawa tujuan berkhatan untuk kesihatan dan kebersihan.
“Ayah dan abang saya sudah berkhatan, sekarang giliran saya dan adik, Frezoley Aerll Ferlius berusia 10 tahun.
“Pada mulanya saya takut namun bila melihat rakan-rakan sebaya yang selesai dikhatankan dalam keadaan ceria perasaan itu hilang, sebaliknya berganti rasa teruja,” katanya.
Sementara itu bapanya Ferlius Kansuh, 41 berkata, dia menggalakkan semua anak-anaknya untuk berkhatan kerana banyak kebaikan daripada aspek kesihatan.
“Anak saya empat orang, semuanya lelaki, saya sendiri berkhatan, meskipun bukan beragama Islam pada saya berkhatan ini memberikan manfaat selain ia bertujuan untuk kebersihan,” ujar penjawat awam yang berasal dari Sabah.
Manakala Norlina Jauny, 42, juga berasal dari Sabah turut hadir menemani anaknya Ondu Nuluhon, 12, untuk berkhatan pada program sama.
Jelasnya, program seumpama itu memberi peluang kepada anaknya yang bukan beragama Islam untuk menerima manfaat daripada berkhatan.
“Terima kasih kepada penganjur, meskipun anak saya bukan Muslim tetapi tetap diberi peluang berkhatan secara percuma.
“Pada mulanya anak saya agak takut apabila dimaklumkan dia akan dikhatankan tetapi selepas ‘dimandikan’ dia kelihatan lebih tenang, apa tidaknya dia seronok berjumpa rakan sekolah yang turut serta dalam program ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.