Sorting by

×

Ibu anak lapan didenda sorok kelahiran bayi

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

AYER KEROH 18 Dis. – Seorang ibu anak lapan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas kesalahan menyembunyikan kelahiran bayi lelaki dua tahun lalu.

Majistret Mazana Sinin, menjatuhkan hukuman itu terhadap Syabariah Samsuri, 39 selepas dia mengaku bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada lapan anak itu didakwa, secara rahsia telah menyembunyikan kelahiran bayinya, sama ada bayi tersebut mati sebelum atau selepas dilahirkan.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Klebang Besar, pada jam kira- kira 2.30 petang, pada 27 Disember 2018.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua- duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian bapa tiri tertuduh telah masuk serta memeriksa biliknya lalu terjumpa satu beg berwarna ungu yang di dalamnya terdapat mayat bayi lelaki dan kemudiannya membuat laporan polis.

Hasil siasatan dijalankan pihak polis mendapati, bayi terbabit adalah hasil daripada hubungan sulit tertuduh dengan teman lelakinya.

Tertuduh, yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Muhammad Izzuddin Ab Malek, merayu agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan mempunyai bayi kecil berusia empat bulan selain anak sulungnya baru sambung belajar.

Terdahulu, prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fuad Ramlan, memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh kerana perbuatannya yang tidak berkeperimanusiaan.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Mazana kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM1,500 atau enam bulan penjara jika gagal berbuat demikian.

Beliau turut menegaskan, sekiranya tertuduh mengulangi perbuatan itu pada masa akan datang, mahkamah tidak akan berkompromi dan hukuman penjara akan dikenakan.

Views:

1968
Kongsi :
Previous post MPM cadang anjur kejohanan maya paralimpik
Next post Karamjit Singh buka sekolah rali tahun depan
Ubah saiz-+=