Sorting by

×

Ibu anak enam kematian suami akibat COVID-19

Masa Membaca:2 Minit, 12 Saat

PAYA RUMPUT 28 Sept. – Kehilangan orang tersayang amat menyedihkan bagi semua insan, lebih-lebih lagi kematian itu disebabkan virus COVID-19.

Begitu dialami suri rumah, Zaini Kaus dari Krubong yang kematian suami, Md Isa Mohd Noor pada 6 September lalu selepas tiga hari bertarung nyawa di Hospital Melaka akibat dijangkiti virus COVID-19.

Menurut Zaini, 43, pemergian arwah suami secara tiba-tiba meragut kebahagian diri dan enam anaknya yang masih kecil berusia empat hingga 11 tahun, dengan lima orang daripadanya bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Krubong.

ZAINI.

“Kali terakhir saya dan anak-anak melihat wajah arwah ketika dia dibawa ke hospital pada 28 Ogos dan sebelum ditidurkan lima hari selepas itu.

“Arwah berpesan melalui panggilan video kepada anak-anak agar belajar rajin-rajin dan minta mereka jaga saya sepanjang ketiadaannya.

“Saya tidak menyangka arwah sudah tiada lagi namun reda dengan ketentuan Ilahi dan sekarang ini,” katanya.

Zaini ditemui ketika kunjungan Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Wira Ar. Ismail Othman dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Melaka, Abd. Razak Omar sempena program Bantuan dan Faedah Prihatin PERKESO di rumahnya dekat Taman Krubong Jaya.

Ismail menyampaikan sumbangan Faedah Penakat atau pencen bulanan berjumlah RM2,080 dan Faedah Pengurusan Jenazah sebanyak RM2,000 kepada Zaini sebagai waris Md Isa yang mencarum dengan PERKESO sewaktu bertugas sebagai pemandu lori dengan syarikat pembekal kelapa sawit di Masjid Tanah.

Menurut Zaini, tiga anaknya iaitu Muhammad Irfan, 7, Muhammad Ikram, 6, dan Nur Aliyah, empat tahun sehingga sekarang masih sukar menerima kehilangan bapa mereka dan sering kali menangis setiap kali bertanyakan keberadaan bapanya.

Katanya, bagi menampung keperluan perbelanjaan harian sejak kematian suami, dia kini mengambil upah menjaga anak jiran dengan bayaran RM500 sebulan.

Namun, ujarnya, dia merasa lega kerana pihak Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) baru-baru ini turut tampil menghulurkan bantuan bulanan RM350 bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak dan keperluan harian.

“Segala bantuan yang diberikan termasuk kemudahan pencen suami hasil daripada usaha pihak PERKESO, dapatlah membantu saya menyediakan keperluan anak-anak dan menampung belanja rumah,” katanya.

ISMAIL (kanan) menyampaikan sumbangan Faedah Penakat dan Pengurusan Jenazah kepada anak sulung arwah Jamjuri Hashim, Nurin Aina di rumahnya dekat Krubong.

Selain Zaini, kunjungan sama dilakukan terhadap waris Jamjuri Hashim di Taman Krubong yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu disebabkan penyakit kencing manis.

Sumbangan kepada waris Jamjuri diserahkan kepada anak sulungnya, Nurin Aina, 19, menerima Faedah Penakat berjumlah RM885 dan Faedah Pengurusan Mayat RM2,000 hasil daripada usaha arwah mencarum dengan PERKESO sejak 1992 hingga 2013.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

577
Kongsi :
Previous post Ubah suai Kompleks Seri Perdana ambil kira faktor keselamatan, imej negara
Next post Karnival Pekerjaan PERKESO secara maya
Ubah saiz-+=