Ibadat korban tetap meriah, patuh SOP
LENDU 20 Julai – Penganjuran ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha tetap meriah walaupun berlangsung mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.
Hasil tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di Masjid Al Mujib Kampung Durian Daun di sini mendapati pihak pengurusan masjid menyediakan kaunter masuk bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan dan merekod kehadiran semua petugas korban yang terlibat.
Malah, setiap mereka yang terlibat diwajibkan memakai pelitup muka, manakala orang ramai langsung tidak dibenarkan berada dalam perkarangan masjid.
Pengerusinya, Mohd. Noor Dalib berkata, hanya petugas majlis yang terdiri daripada 25 orang dibenarkan berada dalam kawasan program atau perkarangan masjid dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Tahun ini adalah kali kedua kami menyambut ibadat korban dalam suasana pandemik COVID-19 dan pada kali ini, sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan sempena perayaan Aidiladha tahun ini.
“Program berjalan lancar dan teratur dengan semua petugas mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya ketika ditemui MHI.
Katanya, kehadiran Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali ke majlis tersebut turut memeriahkan suasana program itu yang bermula kira-kira pukul 10 pagi dan berakhir sekitar tengahari.
“Ketua Menteri berada dalam majlis selama lebih 30 minit untuk bertemu dan beramah mesra dengan petugas selain turut terlibat membantu dalam aktiviti korban,” katanya.
Ujar Mohd Noor, daging lembu yang disembelih kemudiannya diagihkan kepada kira-kira 420 penduduk yang tinggal di sekitar masjid dan taman perumahan berhampiran.
“Alhamdulillah, tahun ini dapat juga kita menjalankan ibadah korban dan untuk hari ini, sebanyak 10 ekor lembu ditumbangkan sempena majlis korban manakala selebihnya bersambung keesokan harinya.
“Saya berharap biarlah penganjuran majlis korban seperti ini iaitu mengikut SOP adalah yang terakhir dan semuanya akan kembali normal pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Menurut Mohd Noor, pelaksanaan SOP yang ketat pada majlis itu bertujuan mengelak wujudnya kluster baharu membabitkan ibadah korban ekoran kecuaian dan sikap sambil lewa terhadap pematuhan SOP.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk mengawal dan berusaha mencegah penularan wabak ini,” katanya.
Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memberi amaran supaya masyarakat mengambil iktibar dan tidak mengulangi sikap tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan wujudnya kluster perayaan dan rentas negeri akibat penularan COVID-19 seperti Jun lalu.
Dalam tempoh 1 Jun hingga 16 Julai sahaja, sebanyak 1,010 kes positif COVID-19 dilaporkan dalam 21 kluster rentas negeri iaitu daripada 5,681 individu yang disaring.
Kluster-kluster ini didapati membabitkan aktiviti rentas negeri bagi tujuan sambutan perayaan, mengunjungi ahli keluarga, menghadiri majlis pengebumian serta atas urusan kerja
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 10 Jun lalu turut pernah melaporkan mengesan 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Aidilfitri dan Hari Gawai.
Daripada jumlah itu, 58 kluster membabitkan sambutan Aidilfitri, menjadikannya kluster tertinggi, manakala bakinya adalah Hari Gawai.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.