‘Ibadah korban DUN Tanjung Bidara kali ini lebih istimewa’
TANJUNG BIDARA 18 Jun – Ibadah Korban Berkelompok Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Melaka di Villa d’Acqua, Kampung Pulau yang berlangsung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, tahun ini, lebih istimewa apabila melibatkan penglibatan segenap lapisan masyarakat beragama Islam.
Bukan sahaja golongan lelaki berusia, bahkan program tahunan sempena Hari Raya Aidiladha itu turut melibatkan anak muda dan kaum hawa.
Seorang penduduk Pengkalan Balak, Ab. Rasid Mohd. Nor, 62, mengakui ibadah pada tahun ini lebih meriah apabila aktiviti gotong-royong itu membabitkan lebih ramai anak kampung, wanita dan golongan belia.
Dia yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Balak berkata, pihaknya berbesar hati apabila Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf sendiri turut bersama masyarakat kampung dalam program berkenaan.
“Terima kasih kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara yang menyumbang seekor lembu untuk setiap kampung di DUN ini.
“Program ini sangat berfaedah kerana kita dapat lihat semua penduduk dari pelbagai kampung berhimpun dan bergotong-royong dalam menyempurnakan ibadah tahun ini,” katanya ketika ditemui pada program Ibadah Korban Berkelompok DUN Tanjung Bidara bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Negeri Melaka di Villa d’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.
Sementara itu, wakil belia Kampung Pulau, Mohammad Asmawi Sabri Muhammad Subandi, 31 berkata, penglibatan lebih ramai golongan muda menyokong usaha berkenaan amat dipuji.
“Boleh dilihat, anak muda antara yang terawal sampai untuk bersama-sama menumbangkan haiwan korban dan bergotong-royong melapah daging.
“Ini menunjukkan lambang permuafakatan masyarakat di DUN Tanjung Bidara dan diharap kebersamaan ini dapat diteruskan pada tahun-tahun mendatang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.