I.N.T.E.G.R.I.T.I PEGANGAN PENJAWAT AWAM BERKUALITI
AYER KEROH 13 Januari – Sembilan pemboleh daya berdasarkan akronim INTEGRITI perlu dijadikan panduan untuk menjadi penjawat awam berkualiti, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Beliau berkata, I: interpersonal berketrampilan yang bermaksud berupaya menjalankan tugas dengan cekap, diikuti N: Nilai mahmudah menjurus sifat dan tingkah laku yang beretika bertepatan dalam syarak.
Katanya, T: Tepati masa depan dengan melaksanakan sesuatu tugasan tepat pada waktu yang telah ditetapkan; E: Emosi yakni memiliki emosi stabil dan fokus pada hal ehwal positif.
“G: Gerak kerja sempurna dalam menjalankan tugas sebaik mungkin dengan penuh rasa tanggungjawab; R: Rasional apabila bertindak secara munasabah yang mendasari sesuatu tindakan.
“I: Ikhlas berkhidmat sepenuh hati suci bukannya hipokrit; T: Telus membudayakan sifat terbuka dan mengelakkan sebarang salah tadbir urus dan terakhir I: Ihsan dengan menerbitkan rasa kebaikan hati dalam menghulurkan bantuan tanpa mengharapkan apa-apa balasan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 di Grand Ballroom, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Ke-12 Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; ketua-ketua jabatan dan agensi serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf semua yang digariskan itu adalah monumental membabitkan komitmen mendalam dan tuntutan yang tinggi kepada anggota pentadbiran dan penjawat awam yang kolektif.
Ujarnya, amanah yang diberikan atas jemala pentadbiran bukanlah perkara mudah sebaliknya bertanggungjawab membuat perkara yang betul meskipun sukar.
“Kita tidak mempunyai pilihan, sama ada bergerak maju ke hadapan secara bersama atau ambil risiko untuk ditinggalkan dalam keluk pelbagai permasalahan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.