Hukuman penjara, sebatan buat pengkhianat subsidi negara
DURIAN TUNGGAL 5 Oktober – Hukuman lebih berat dicadangkan dikenakan kepada pihak yang dikesan terbabit dalam aktiviti penyelewengan dan memanipulasi subsidi negara khusus membabitkan isu bekalan beras.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya mencadangkan agar kerajaan mengkaji semula hukuman terhadap pesalah berkenaan agar mereka serik selain menjadi pengajaran kepada semua pihak.
Katanya, melihat semula kepada akta yang ada ketika ini hukuman paling berat dikenakan kepada pesalah berkenaan adalah kompaun.
“Kompaun ini kadang-kadang kita tahulah kartel ini boleh bayar. Kalau setakat kompaun RM100,000 ini saya rasa mereka boleh bayarlah. Sebenarnya sebab itu bila kata hukuman lebih berat kita bukan mahu menghukum mereka tetapi memberi pengajaran agar tidak ulang kesalahan sama.
“Kita kenakan hukuman penjara dan sebatan kepada pihak mengkhianati subsidi negara ini…Sebab apa? sebab mereka ini adalah pengkhianat negara. Mereka inilah yang menipu rakyat yang menekan rakyat dan ini pun boleh dianggap sebagai pengkhianat negara.
“Jadi sepatutnya hukuman itu boleh dikenakan kepada mereka. Sebab itu saya mohon kerajaan untuk menilai supaya hukuman yang berat,” katanya pada sidang media selepas Program Pelepasan Benih Ikan dan Udang Galah di Perairan Sungai Melaka di Kampung Gangsa, Durian Tunggal, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong serta Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Salehon.
Sementara itu mengulas mengenai isu kekurangan beras Dr. Muhamad Akmal berkata, setakat ini Negeri Melaka sudah menerima 300 tan metrik bekalan makanan itu.
Menurutnya, sejumlah 200 tan metrik lagi dijangka diterima selewat-lewatnya pada minggu hadapan.
“Kerajaan Negeri bercadang mengadakan lebih banyak program jualan beras di Japerun selain pasar raya dan kedai runcit bagi memudahkan rakyat mendapatkan bekalan.
“Dalam hal ini saya memaklumkan tiada pembelian panik akan berlaku biarpun kita lihat bekalan beras tempatan sukar didapati. Kita menasihatkan rakyat untuk berpada-pada dan tidak melakukan pembelian panik kerana kita jamin bekalan ini akan mencukupi.
“Saya juga minta rakyat untuk tidak membeli beras pada kuantiti yang banyak, biarlah lebih ramai yang dapat bekalan beras,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.