Sorting by

×

Hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk – Pakar kriminologi

Masa Membaca:2 Minit, 36 Saat

Oleh Anasathia Jenis

KUALA LUMPUR, 27 Mei  — Insiden kemalangan maut yang semakin menjadi-jadi melibatkan pengguna jalan raya tidak bersalah akibat sikap pemandu mabuk perlu dipandang serius dan sudah tiba masanya kerajaan memperketatkan dan menambah hukuman sedia ada terhadap pelaku terbabit.

Pada masa ini, kemalangan jiwa berpunca daripada individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol didakwa di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda sehingga RM20,000.

Berikutan itu, ramai pihak menuntut ‘hutang nyawa seharusnya dibayar dengan nyawa’ khususnya kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.

Pakar kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abd Rahim berkata peningkatan kes kemalangan maut disebabkan sikap pemandu mabuk sejak akhir-akhir ini memerlukan kerajaan melakukan tindakan drastik dengan menggubal undang-undang yang lebih tegas untuk menghukum pesalah tersebut.

Beliau berkata undang-undang sedia ada bagi menghukum pesalah terbabit dilihat terlalu ringan menyebabkan ramai pemandu memandang enteng kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Ada pemandu yang tidak mematuhi peraturan sehinggakan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun masih melakukan kesalahan itu. Jangan beri peluang kedua kepada pelaku.

“Penalti atau hukuman di bawah akta sedia ada dilihat tidak memberi kesan kerana terdapat segelintir pemandu yang tidak serik untuk memandu selepas mengambil minuman yang mengandungi alkohol,” katanya kepada Bernama.

Justeru, Shahul Hamid berkata beliau menyambut baik cadangan kerajaan untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan berhubung kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol namun menggesa agar pelaksanaannya disegerakan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sosiologi dan Antropologi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof Madya Dr Noor Azlan Mohd Noor menyarankan agar satu tindakan secara ad hoc diambil terhadap pesalah sementara menunggu hukuman dan akta sedia ada dipinda kepada yang lebih tegas.

“Mungkin lebih ramai akan menjadi mangsa pemandu mabuk ini, maka sebelum akta yang lebih keras dikenakan, tindakan boleh diambil terlebih dahulu oleh pihak berkuasa memandangkan pindaan akta belum dilaksanakan,” katanya.

Selain itu, Noor Azlan menyarankan agar hukuman mandatori setimpal dikenakan bagi memberi kesedaran kepada individu yang memandu dalam keadaan mabuk bagi mengelak kemalangan yang mungkin boleh membawa kematian atau kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Menurutnya, selain hukuman berat menanti pelaku terbabit, bakal pemandu juga perlu diberi kesedaran dan pendidikan terlebih dahulu pada peringkat permulaan iaitu sebelum mendapat lesen memandu.

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sepanjang tempoh 2014 hingga 2018, sebanyak 637 kematian berpunca daripada kemalangan melibatkan pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Semalam, media melaporkan satu sesi taklimat di Kementerian Pengangkutan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan akan diadakan pada 1 Jun ini bagi meneliti dan menyemak semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada 3 Mei, seorang anggota polis bertugas di sekatan jalan raya Op COVID-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dekat Kajang, maut selepas dilanggar pacuan empat roda yang dipandu seorang lelaki mabuk.

Pada 23 Mei, seorang lelaki yang menaiki kenderaan pacuan empat roda didakwa merempuh gerai penjaja serta orang awam di tapak penjaja Pekan dan siasatan awal polis mendapati suspek dalam keadaan mabuk semasa kejadian.

Semalam, seorang lelaki maut selepas keretanya dirempuh sebuah kereta yang dipandu melawan arus, dipercayai akibat pengaruh alkohol, di Jalan Pintasan Kuantan, Pahang.

— BERNAMA

Views:

1281
Kongsi :
Previous post Pelantikan Awang Sariyan bagai Sirih Pulang Ke Gagang
Next post Angkat sumpah jawatan Yang Dipertua Negeri Melaka 5 Jun ini
Ubah saiz-+=