Hukum guna vaksin meragukan ketika darurat adalah harus – Mufti Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

PENGKALAN BATU 25 Nov. – Perkara yang bertentangan syarak boleh ditafsir kepada hukum harus, sekiranya sesebuah perkara yang dihadapi berada dalam keadaan darurat.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, ia susulan vaksin COVID-19 yang dikaji akan menjadi hukum harus kepada umat Islam, sekiranya inisiatif mengekang penularan wabak itu mengandungi bahan mahupun elemen yang meragukan (syubhah).

“Seharusnya perkara ini lebih sesuai jika kerajaan termasuk agensi terlibat perlu mengkaji dan menilai unsur yang terdapat dalam vaksin berkenaan sebelum ia diguna pakai dalam kalangan pengguna

“Seandainya vaksin pandemik itu menepati piawaian syariah dan tiada unsur syubhah iaitu meragukan dengan termasuk tiada elemen gelatin babi, enzim dan sebagainya saya yakin ia akan selamat digunakan.

MUFTI Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil (dua kanan) bersama Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan (dua kiri) bergambar selepas menyampaikan bantuan keperluan harian kepada saudara baharu pada program YADIM peduli musaadah Negeri Melaka sempena bulan dakwah YADIM 2020 di Kompleks Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Bukit Palah. Foto : MR. Azli.

“Tetapi jika setelah kajian dilaksanakan nanti dan memang benar ada elemen yang meragukan, kita perlu bawa dari sudut muzakarah fatwa bagi memutuskan sama ada hukum itu harus atau tidak dalam penggunaannya.

“Sudah pasti dalam Islam ada konsep perluasan hukum syarak iaitu apabila dalam darurat dan tiada pilihan maka perkara yang ditegah akan menjadi harus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Peduli Musaadah Negeri Melaka yang turut dihadiri Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam kenyataanya berkata, penggunaan vaksin COVID-19 akan diperhalusi dalam Muzakarah Fatwa Kebangsaan akan datang dengan mengambil kira semua aspek termasuk soal ‘Maqasid Syariah’ selain memastikan tidak memudaratkan dalam jangka masa panjang.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, perkara itu bukan sahaja berkaitan dalam pembikinan vaksin COVID-19 bagaimanapun ada juga bahan perubatan lain yang turut mengandungi perkara meragukan.

“Di atas kesukaran bagi mendapatkan perubatan lain maka kita akan melihat kaedah dalam berhubung kait dengan hukum syarak yang meletakkan hukum harus itu dalam penggunaannya.

“Kita doakan penyelidik dan ahli farmasi khasnya umat Islam berlumba-lumba membuat kajian dan penyelidikan untuk mendapatkan vaksin kerana kita perlu berpegang kepada janji Nabi bahawa setiap penyakit ada ubat (kecuali mati),” katanya

Views:

915
Kongsi :
Previous post Busuk, berkeladak dan meloyakan!
Next post PKPD di Taman Perumahan mukim Sungai Seluang, Kulim bermula Jumaat
Ubah saiz-+=