Sorting by

×

Hujan bukan penghalang jalin muhibah sambut Deepavali

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

GADEK 4 Disember – Hujan berterusan sejak jam 7 petang tadi tidak mematahkan semangat pengunjung meraikan sambutan Majlis Rumah Terbuka Deepavali Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek 2023, di sini, malam tadi.

Meskipun perayaan itu sudah berlalu tiga minggu lalu namun kemeriahannya masih dirasai dengan dihadiri kira-kira 1,500 pengunjung terdiri daripada pelbagai kaum hadir memeriahkan yang diadakan di Laman Sebang, Rumah Awam Pulau Sebang.

Malah, sambutan itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Asmah Abdul Rahman.

Ketibaan Tun dan isteri kira-kira jam 8.30 malam tadi disambut Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, VP Shanmugam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin dan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Pada program itu, Tun Mohd Ali sempat beramah mesra dengan si cilik dan menyampaikan sumbangan wang raya selepas menyempurnakan majlis dengan acara pemotongan kek.

Program diadakan penuh warna warni itu disajikan dengan pelbagai juadah tradisional masyarakat India antaranya tose, roti canai, ayam goreng berempah serta pelbagai lagi dihidangkan buat orang ramai.

Selain itu, turut dipersembahkan kepada tetamu, artis pujaan masyarakat India, Darkkey and The Keys serta pelbagai tarian kebudayaan masyarakat India.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1393
Kongsi :
Previous post Bekas Menteri Kesihatan Chua Jui Meng meninggal dunia
Next post Tiga gudang simpan logam tembaga, wayar di Bukit Selambau terbakar
Ubah saiz-+=